Kawalan keselamatan Malaysia-Thailand dipertingkat

Kawalan keselamatan di sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan terus
dipertingkat susulan insiden tembakan di Pattani, Thailand

KOTA BHARU, 28 Mei – Kawalan keselamatan di sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan terus dipertingkat susulan insiden tembakan di Pattani, Thailand yang mengorbankan isteri seorang anggota polis negara itu Isnin lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ketua Polis Kelantan anggap kejadian sebagai kes terpencil, tiada ancaman keselamatan di Kelantan.
  • Pemantauan dan kawalan sempadan dijalankan 24 jam untuk mengesan pergerakan mencurigakan dan membanteras penyeludupan PATI.
  • Polis masih belum tahu motif suspek memilih anggota polis; pihak berkuasa kekal berwaspada dan bersiap siaga.
  • Laporan media Thailand: empat lelaki bersenjata berpakaian wanita melepaskan tembakan, menyebabkan isteri anggota polis maut.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, kejadian itu disifatkan sebagai kes terpencil dan setakat ini tiada ancaman terhadap keselamatan di Kelantan.

Kawalan dan pemantauan di sempadan dijalankan 24 jam termasuk mengesan sebarang pergerakan mencurigakan serta membanteras penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI).

“Kawalan sempadan negara sentiasa berada dalam keadaan terkawal dan dipantau rapi walau apa jua situasi.

“Setakat ini, kita masih belum menerima maklumat mengenai sebab suspek memilih anggota polis sebagai sasaran sehingga menyebabkan isterinya menjadi mangsa. Apa yang penting, kita sentiasa berwaspada dan bersiap siaga,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Ibadah Korban Jama’ie anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) di Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra, Panji, di sini.

Media Thailand sebelum ini melaporkan, dalam kejadian pukul 3.30 petang itu, empat lelaki bersenjata yang memakai pakaian wanita dan bertudung melepaskan tembakan ke arah sebuah kereta milik Pol Sen Sgt Maj Adul Hayeesulong, 38 tahun yang tiba di sebuah sekolah bersama keluarganya.

Serangan di luar Sekolah Prasanwittayamulniti di daerah Yarang, Pattani itu mengakibatkan isterinya, Fatimoh Yango, 35 tahun maut selepas terkena
tembakan di kepala dan belakang badan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.