JIM tidak kompromi isu integriti, 77 pegawai dibuang kerja sejak 2022

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban

BERANANG, 27 Mei – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pegawai yang terlibat dalam salah laku atau pelanggaran integriti termasuk mengambil tindakan buang kerja terhadap mereka yang didapati bersalah.

RINGKASAN BERITA AI
  • 994 kes tatatertib diselesaikan sejak 2022; 77 pegawai dibuang kerja selepas disabitkan pelanggaran disiplin dan integriti.
  • Kesalahan kerap dikesan: langgar SOP, salah guna kuasa, tidak hadir, penyalahgunaan bahan terlarang dan subahat membekal barang terlarang.
  • Tindakan tatatertib berasaskan bukti kukuh serta perundangan; pegawai dalam siasatan ditempatkan di bahagian tidak kritikal; pemantauan dan teknologi diperkukuh.

Ketua Pengarahnya, Datuk Zakaria Shaaban berkata, sebanyak 994 kes tatatertib berjaya diselesaikan sepanjang tempoh 2022 hingga tahun ini.

Daripada jumlah itu, 77 pegawai dikenakan hukuman buang kerja selepas didapati terbabit dalam pelbagai kesalahan disiplin dan integriti.

“Antara kesalahan sering dikesan ialah melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP), salah guna kuasa, tidak hadir bertugas dan penyalahgunaan bahan terlarang.

Terdapat juga kes melibatkan pegawai depot imigresen yang bersubahat membekalkan bahan terlarang kepada tahanan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Jelajah Wira MADANI dan Semarak Aidiladha Jabatan Imigresen Malaysia di Depot Imigresen Sementara Millennium, Kuala Pajam di sini, hari ini.

Jelas beliau, tindakan tatatertib melibatkan pelbagai gred pegawai dan setiap keputusan dibuat berdasarkan bukti kukuh serta mematuhi peruntukan undang-undang.

“Kita tidak akan berkompromi, mana-mana pegawai yang melanggar integriti dan melakukan salah laku.

“Kita tidak boleh mengambil tindakan sewenang-wenangnya tanpa bukti yang kukuh kerana setiap keputusan tatatertib tertakluk kepada perundangan,” jelasnya.

Menurut beliau, pegawai yang masih dalam siasatan lazimnya akan ditempatkan di bahagian tidak kritikal bagi mengelakkan risiko penyalahgunaan kuasa sementara siasatan dijalankan.

Bagi mengurangkan ruang manipulasi dan salah guna kuasa dalam jabatan, pihaknya akan terus memperkukuh pemantauan dalaman, di samping mempertingkat penggunaan teknologi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.