
MANILA, 26 Mei – Dua fenomena alam yang menakjubkan berlaku serentak di Filipina apabila sebuah meteor dikesan melintasi ruang udara Gunung Berapi Mayon yang dilaporkan sedang meletus sejak awal Januari lalu.
- Kamera IP Lignon Hill PHIVOLCS merakam meteor hancur sepenuhnya di atmosfera pada 10.33 malam Isnin.
- PHIVOLCS menyatakan semakan data seismik, infrabunyi dan rakaman tambahan menunjukkan meteor tidak menghentam bahagian gunung.
- Agensi membetulkan laporan awal yang mendakwa objek bercahaya itu menghentam cerun utara Mayon.
Kejadian yang berlaku pada pukul 10.33 malam Isnin itu berjaya dirakam oleh kamera IP Lignon Hill milik Institut Volkanologi dan Seismologi Filipina (PHIVOLCS), sebelum objek tersebut telah hancur sepenuhnya di atmosfera.
PHIVOLCS dalam satu kenyataan yang dikongsikan bersama klip video di laman Facebook rasminya menjelaskan, semakan lanjut ke atas data seismik, infrabunyi serta rakaman kamera tambahan di sekitar kawasan terbabit menunjukkan meteor berkenaan tidak menghentam mana-mana bahagian gunung.
“Semakan kami menunjukkan meteor tersebut telah hancur ketika berada di atmosfera dan tidak terhempas di cerun Mayon, sekali gus membetulkan hantaran (maklumat) awal kami sebelum ini,” menurut agensi itu.
Kenyataan tersebut dikeluarkan bagi mengemas kini laporan awal PHIVOLCS yang mendakwa objek bercahaya berkenaan telah menghentam cerun bahagian utara gunung berapi tersebut.
Gunung Berapi Mayon, yang terkenal dengan bentuk konnya yang hampir sempurna, berada dalam status aktif dan telah mula meletus sejak awal Januari lepas.
PHIVOLCS merupakan institut perkhidmatan di bawah Jabatan Sains dan Teknologi Filipina yang bertanggungjawab sepenuhnya dalam memantau dan mengurangkan risiko bencana melibatkan letusan gunung berapi, gempa bumi serta tsunami di negara berkenaan. – REUTERS