Rusia rancang serangan baharu ke atas Kiev

Foto REUTERS

MOSCOW, 26 Mei -Rusia merancang untuk melancarkan lebih banyak serangan ke atas ibu negara Ukraine, Kiev serta mengulangi gesaan agar warga asing dan diplomat meninggalkan bandar tersebut.

RINGKASAN BERITA AI
  • Serangan difokuskan kepada fasiliti industri ketenteraan di Kiev susulan siri serangan hujung minggu lalu.
  • Pelancaran berpuluh-puluh dron dan peluru berpandu mengorbankan sekurang-kurangnya empat, mencederakan puluhan dan merosakkan bandar.
  • Digunakan peluru berpandu hipersonik Oreshnik, dikatakan mampu hingga 10 kali ganda kelajuan bunyi dan membawa kepala peledak nuklear.

Kementerian Luar Rusia dalam kenyataan memaklumkan, serangan itu tertumpu kepada fasiliti industri ketenteraan Ukraine di Kiev, susulan beberapa siri serangan besar yang dilancarkan ke atas Ukraine hujung minggu lalu.

Serangan tersebut melibatkan pelancaran berpuluh-puluh dron dan peluru berpandu yang mengorbankan sekurang-kurangnya empat orang, mencederakan puluhan yang lain serta menyebabkan kerosakan di seluruh ibu negara Ukraine.

Antara senjata yang digunakan ialah peluru berpandu hipersonik Oreshnik, yang menurut Moscow mampu bergerak hingga 10 kali ganda kelajuan bunyi serta berupaya membawa kepala peledak nuklear.

Serangan berkenaan berlaku beberapa hari selepas Rusia menuduh Kiev menyerang sebuah sekolah vokasional di wilayah Lugansk yang diduduki Rusia, mengakibatkan 21 orang terbunuh. 

Presiden Rusia, Vladimir Putin, kemudian mengarahkan tentera negara itu untuk melakukan serangan balas.

Ukraine menyifatkan ancaman Rusia itu sebagai sekadar “retorik”.

Menteri Luar Ukraine, Andrii Sybiha, berkata pihaknya sedang memaklumkan kepada sekutu antarabangsa supaya tidak tunduk kepada tekanan atau “ugutan Rusia”.

Sebelum ini, Rusia turut mengeluarkan amaran sama kepada warga asing dan diplomat untuk meninggalkan Kiev , ketika negara itu mengancam serangan besar sekiranya Ukraine mengganggu perarakan ketenteraan di Dataran Merah.

Rusia melancarkan pencerobohan berskala besar ke atas Ukraine pada Februari 2022, membawa kepada konflik paling berdarah di Eropah sejak Perang Dunia Kedua. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.