
DAKAR, 26 Mei – Presiden Senegal, Bassirou Diomaye Faye pada Isnin melantik pakar ekonomi kanan, Ahmadou Al Aminou Lo sebagai Perdana Menteri baharu dalam usaha terdesak untuk mengemudi negara Afrika Barat itu keluar daripada krisis lambakan hutang yang mencecah 132 peratus daripada KDNK.
- Pelantikan Lo menggantikan Ousmane Sonko yang dipecat Jumaat lalu, mencetuskan krisis politik dan pentadbiran.
- Lo dipilih kerana kepakaran sistem ekonomi dan kewangan selepas berkhidmat di Bank Pusat Negara-Negara Afrika Barat (BCEAO), menurut dekri.
- Beliau menegaskan pelantikan bukan perubahan hala tuju, sebaliknya penekanan kepada integriti, ketelusan dan kedaulatan ekonomi.
- Isu hutang yang didakwa disembunyikan menyebabkan IMF menggantung bantuan; perbezaan pandangan Faye dan Sonko menambah keretakan politik.
Pelantikan mengejut bekas jurubank pusat itu dibuat bagi menggantikan tokoh popular, Ousmane Sonko yang dipecat Jumaat lepas, sekali gus mengheret negara berkenaan ke dalam krisis politik dan pentadbiran yang semakin meruncing.
Menurut dekri presiden yang mengumumkan pelantikan itu, Lo yang pernah berkhidmat di Bank Pusat Negara-Negara Afrika Barat (BCEAO) dipilih kerana mempunyai kepakaran mengenai selok-belok sistem ekonomi dan kewangan.
“Senegal ialah sebuah negara yang selamat serta berdaya maju dan berhasrat untuk kekal sedemikian,” kata Lo dalam kenyataan pertamanya, merujuk kepada situasi kewangan mencabar yang sedang dihadapi negara.
Beliau turut menegaskan bahawa pelantikannya bukanlah satu perubahan hala tuju negara, sebaliknya melibatkan peralihan kaedah pentadbiran yang akan memberi penekanan kepada prinsip integriti, ketelusan serta kedaulatan ekonomi.
Krisis kewangan Senegal sebelum ini dilaporkan semakin parah selepas pentadbiran Faye dan Sonko, yang memenangi pilihan raya pada 2024, menuduh kerajaan terdahulu menyembunyikan sebahagian daripada data hutang negara, menyebabkan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menggantung program bantuan bernilai AS$1.8 bilion.
Bagaimanapun, isu penyelesaian hutang tersebut akhirnya menjadi punca keretakan hubungan antara Faye dan Sonko, menyaksikan Faye mahu merundingkan semula bantuan IMF manakala Sonko lebih memihak kepada pendekatan domestik yang berdaulat.
Rentetan pemecatannya, Parlimen Senegal yang dikuasai majoriti parti pimpinan Sonko dijadual mengadakan pengundian hari ini bagi melantik beliau sebagai Speaker Dewan yang baharu, langkah yang dibantah keras oleh pakatan pembangkang. – AFP