
KUALA LUMPUR, 25 Mei – Axiata Group Berhad (Axiata) mengekalkan fokus terhadap disiplin kewangan dan daya tahan operasi bagi menghadapi ketidaktentuan global serta konflik Asia Barat yang berpotensi memberi kesan terhadap kuasa beli pengguna.
- Menilai kesan krisis terhadap prestasi kewangan kumpulan dan bersiap untuk impak berterusan.
- Sekiranya konflik berlanjutan, dijangka kesan peringkat kedua menjejaskan kemampuan perbelanjaan pengguna.
- Memperkukuh disiplin kewangan melalui pengurusan kos, pemantauan pasaran, pengurusan hutang dan aliran tunai.
- Melihat peluang, terutamanya peningkatan permintaan akses tanpa wayar tetap berasaskan 5G kerana bekerja dari rumah.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Pengarah Urusannya, Vivek Sood berkata, syarikat itu sedang menilai kesan krisis terhadap prestasi kewangan kumpulan.
Menurut beliau, sekiranya konflik berterusan melebihi beberapa bulan, sebahagian pasaran operasi dijangka mula mengalami kesan peringkat kedua terutama dari segi kemampuan perbelanjaan pengguna.
Bagi mengurangkan risiko itu, syarikat ini akan terus memberi tumpuan kepada pengurusan kos, pemantauan prestasi kewangan di setiap pasaran operasi serta memastikan pelaburan dibuat secara lebih berdisiplin.
“Pada asasnya melibatkan kemampuan perbelanjaan pengguna kerana perkhidmatan yang kami tawarkan merupakan keperluan bagi semua orang. Jadi, jika pendapatan pengguna semakin tertekan, sudah tentu akan ada kesan terhadap hasil pendapatan kami.
“Dalam masa sama, kami juga melihat terdapat beberapa peluang untuk kami berbanding operasi lain di pasaran ini. Sebagai contoh, apabila semakin ramai mula kembali berada di rumah dan bekerja dari rumah” katanya pada Taklimat Media Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Axiata ke-34.
Beliau berkata, peluang baharu itu termasuk peningkatan permintaan terhadap perkhidmatan akses tanpa wayar tetap berasaskan 5G apabila lebih ramai pengguna bekerja dari rumah.
Dalam masa sama, katanya, Axiata juga memberi penekanan terhadap disiplin kewangan termasuk pengurusan hutang, pengukuhan aliran tunai dan pelaburan yang mampu menjana pulangan lebih baik kepada pemegang saham.
Bagi tahun kewangan 2025, Axiata mencatat peningkatan aliran tunai bebas operasi sebanyak 12.8 peratus tahun ke tahun kepada RM1.6 bilion, selain menerima RM1.7 bilion dividen daripada syarikat operasinya.