Empat maut terhidu asap generator ketika gangguan bekalan elektrik di Sumatera

Gangguan bekalan elektrik di Sumatera/Foto TRIBUNNEWS

JAKARTA, 24 Mei – Empat orang maut manakala tiga lagi dimasukkan ke hospital selepas dipercayai terhidu asap toksik daripada generator diesel yang digunakan ketika gangguan bekalan elektrik di Pulau Sumatera, Indonesia, menurut pihak berkuasa tempatan pada Ahad.

RINGKASAN BERITA AI
  • Gangguan bekalan elektrik melanda Sumatera Utara dan Sumatera Barat menyebabkan penggunaan generator diesel.
  • Di Batu Bara, mangsa ditemui maut selepas menggunakan generator dalam bilik tanpa pengudaraan baik.
  • Kejadian serupa di Sumatera Barat mengaitkan pelepasan asap daripada generator dengan kematian dan kemasukan hospital.
  • PLN mengesahkan gangguan besar pada grid utara dan tengah Sumatera sekitar waktu petang, menjejaskan jutaan penduduk, dan siasatan masih dijalankan.

Insiden berlaku di Sumatera Utara dan Sumatera Barat ekoran gangguan bekalan elektrik akibat masalah pada sistem penghantaran elektrik Sumatera.

Di daerah Batu Bara, Sumatera Utara, dua mangsa ditemukan maut di dalam sebuah rumah selepas menggunakan generator di bilik yang tidak mempunyai pengudaraan baik, menurut polis tempatan.

Pihak berkuasa mengesyaki mangsa sesak nafas selepas terhidu asap.

Sementara itu, dua orang maut dan tiga lagi dimasukkan ke hospital di Sumatera Barat dalam kejadian sama yang dikaitkan dengan pelepasan asap daripada generator.

Syarikat elektrik milik kerajaan Indonesia, PLN sebelum ini berkata gangguan besar melanda grid tenaga di utara dan tengah Sumatera pada kira-kira 6.44 petang waktu tempatan Jumaat, menyebabkan gangguan bekalan elektrik yang menjejaskan jutaan penduduk.

PLN berkata pemeriksaan bagi mengenal pasti punca gangguan itu masih dijalankan./BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.