
NEW DELHI, 24 Mei – Sekurang-kurangnya 16 orang dilaporkan maut akibat strok haba di selatan India setakat musim panas tahun ini ketika negara itu berdepan gelombang haba ekstrem yang melanda beberapa wilayah.
- Pihak berkuasa mengeluarkan amaran kesihatan dan menggesa langkah berjaga-jaga untuk elak risiko cuaca panas melampau.
- Beberapa bandar merekodkan suhu lebih 45 darjah Celsius; New Delhi kekal melebihi 40 darjah sepanjang minggu.
- Penggunaan elektrik meningkat ke paras rekod akibat permintaan tinggi terhadap pendingin hawa dan bekalan penyejukan.
- Warga emas, kanak-kanak dan wanita hamil dinasihat elak aktiviti luar waktu siang; perubahan iklim menjadikan gelombang haba lebih kerap dan ekstrem.
Kematian terbabit dilaporkan di negeri Telangana, dengan pihak berkuasa mengeluarkan amaran kesihatan serta menggesa orang ramai mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan risiko cuaca panas melampau.
Menteri Hasil negeri Telangana, Ponguleti Srinivasa Reddy berkata, cuaca ketika ini berada pada tahap membimbangkan dan langkah perlindungan perlu dipertingkat di seluruh negeri.
Menurut beliau, pihak berkuasa tempatan turut diarahkan mengeluarkan amaran awal serta panduan keselamatan kepada penduduk sepanjang tempoh gelombang haba.
Beberapa bandar di India merekodkan suhu melebihi 45 darjah Celsius sejak kebelakangan ini, manakala suhu di ibu negara, New Delhi, kekal melebihi 40 darjah Celsius sepanjang minggu.
Keadaan itu menyebabkan penggunaan elektrik meningkat ke paras rekod susulan permintaan tinggi terhadap pendingin hawa dan bekalan penyejukan.
Pakar kesihatan memaklumkan haba melampau boleh menyebabkan dehidrasi serius, menjadikan darah lebih pekat dan dalam kes tertentu boleh mengakibatkan kegagalan organ.
Kerajaan negeri Telangana turut menasihatkan warga emas, kanak-kanak dan wanita hamil supaya mengelakkan aktiviti luar pada waktu siang kecuali jika benar-benar perlu.
Jabatan Meteorologi India sebelum ini meramalkan beberapa kawasan negara itu akan mengalami suhu lebih tinggi daripada biasa serta gelombang haba yang lebih teruk.
India, negara paling ramai penduduk di dunia, sering berdepan cuaca panas melampau ketika musim panas, namun saintis percaya perubahan iklim menjadikan gelombang haba lebih panjang, lebih kerap dan semakin ekstrem.