
KUALA LUMPUR 23 Mei – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru majoriti rakyat yang cintakan Malaysia agar terus mempertahankan semangat perpaduan dan tidak membiarkan negara ditawan dengan sentimen kebencian yang boleh menggugat keharmonian masyarakat majmuk.
- Malaysia dibina atas penerimaan kepelbagaian kaum, budaya dan agama sebagai kekuatan utama negara.
- Minoriti yang bising dan menyemai kebencian berpotensi mencetuskan 'tyranny of the minority' dan menggugat keharmonian.
- Konsep Malaysia MADANI menekankan pembangunan seiring nilai, etika dan moral, bukan hanya teknologi dan inovasi.
- Nilai kemanusiaan perlu diperkukuh supaya kemajuan tidak menghakis jati diri dan saling menghormati.
Beliau menegaskan, Malaysia sejak awal pembentukannya dibina atas asas penerimaan terhadap kepelbagaian kaum, budaya dan agama yang menjadi kekuatan utama negara.
“Sekarang ini, yang minoriti yang bising, yang marah, yang kejam, yang panaskan orang, yang berhimpun, tanam kebencian, buat fitnah, takutkan orang ini, marah orang ini, itu minoriti. Keadaan ini seolah-olah menggambarkan ‘tyranny of the minority’ atau dominasi kelompok minoriti.
“Kepelbagaian itu, perbezaan itu bukan perkara baharu. Kita sebagai negara dilahirkan dengan menerima kenyataan kepelbagaian. Memang ditetapkan masyarakat Melayu Bumiputera itu majoriti dan beberapa peruntukan Perlembangan, Islam agama persekutuan.
“Tetapi dari awal kita terima kenyataan, kepelbagaian, menghormati dan memuliakan sebab itu dalam negara MADANI ini, kita bukan melakar sesuatu yang baharu, tetapi meneruskan agenda pengasas negara ditetapkan”, regas Datuk Seri Anwar.
Tambahnya, konsep Malaysia MADANI bukan sekadar memberi tumpuan kepada pembangunan, teknologi dan inovasi, sebaliknya turut menekankan aspek nilai, etika dan moral sebagai teras utama pembangunan negara.
Selain itu, nilai kemanusiaan perlu terus diperkukuh agar pembangunan yang dikecapi tidak menghakis jati diri dan rasa hormat sesama masyarakat.
“Sementara kita bercakap mengenai perkembangan, inovasi, perubahan digital, transisi tenaga dan kecerdasan buatan, kita harus tetap tegas bergantung pada kepercayaan, nilai moral dan etika kita ini yang menjadikan kita unik sebagai sebuah negara”, katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa kemajuan negara perlu bergerak seiring dengan pemerkasaan nilai kemanusiaan supaya Malaysia terus kekal sebagai negara yang bersatu, aman dan saling menghormati dalam kepelbagaian.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan Perasmian Wacana Harmoni MADANI sempena Sambutan Hari Wesak Peringkat Kebangsaan di sini.
Hadir sama Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook yang juga pengerusi bersama penganjur wacana itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh dan Presiden Majlis Perundingan Buddha Malaysia (MBCC) Lillian Chang.