Serangan asrama pelajar di Luhansk, Rusia beri amaran bertindak balas

Presiden Rusia, Vladimir Putin / foto REUTERS

MOSCOW, 23 Mei – Rusia mendakwa Ukraine melancarkan serangan dron secara sengaja ke atas sebuah asrama pelajar di wilayah Luhansk, pada Jumaat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Enam maut, 39 cedera dan 15 hilang menurut laporan semasa, dengan operasi menyelamat sedang dijalankan.
  • Putin menegaskan tiada kemudahan ketenteraan atau perkhidmatan khas berhampiran, tiada asas menyalahkan sistem pertahanan udara Rusia.
  • Kementerian Luar diarahkan memaklumkan komuniti antarabangsa, manakala Kementerian Pertahanan diminta mengemukakan cadangan tindak balas.

Menurut Presidennya, Vladimir Putin, serangan itu mengorbankan sekurang-kurangnya enam individu, manakala 39 lagi cedera dan 15 masih hilang.

Putin berkata, serangan tersebut menyasarkan asrama Kolej Pedagogi Starobilsk ketika para pelajar sedang tidur.

“Berdasarkan laporan daripada Ketua Republik Rakyat Luhansk, Leonid Pasechnik, setakat ini enam orang disahkan maut, 39 cedera dan 15 masih hilang ketika operasi menyelamat sedang dijalankan,” katanya dalam satu mesyuarat di Kremlin.

Beliau turut menegaskan bahawa tiada kemudahan ketenteraan atau berkaitan perkhidmatan keselamatan berhampiran lokasi kejadian.

“Saya ingin tegaskan, tiada kemudahan ketenteraan atau perkhidmatan khas berhampiran asrama tersebut. Oleh itu, tiada asas untuk mendakwa serangan itu berpunca daripada sistem pertahanan udara atau peperangan elektronik kami,” katanya.

Tambah Putin, serangan itu dilakukan secara terancang menerusi tiga gelombang melibatkan 16 dron yang menyasarkan lokasi sama.

Kementerian Luar Rusia telah diarahkan untuk memaklumkan insiden itu kepada organisasi antarabangsa serta komuniti global.

Dalam masa sama, Kementerian Pertahanan Rusia turut diminta mengemukakan cadangan untuk bertindak balas susulan kejadian tersebut. -REUTERS

 

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.