
SELANGOR, 22 Mei – Kerajaan Negeri Selangor memberi jaminan bahawa laporan penuh siasatan insiden letupan paip gas di Putra Heights, Subang Jaya akan didedahkan kepada umum, selaras dengan komitmen kerajaan negeri terhadap prinsip ketelusan.
- Laporan penuh sedia ada; pendedahan perlu diperhalusi kerana melibatkan laporan dan agensi di bawah Kerajaan Persekutuan.
- Kerajaan negeri tiada halangan; Menteri Besar mengesyorkan laporan didedahkan supaya boleh ditonton atau disemak orang awam.
- Insiden 1 April rosakkan 81 rumah musnah, 81 separa musnah, 57 terjejas, 218 tidak terjejas.
- Hasil siasatan akan diumumkan kepada rakyat setelah proses penelitian dan penyelarasan pihak berkaitan dimuktamadkan.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, proses pendedahan laporan berkenaan bagaimanapun perlu diperhalusi terlebih dahulu bersama Kerajaan Persekutuan memandangkan siasatan turut melibatkan beberapa agensi di bawah bidang kuasa pusat.
“Laporan penuh sudah ada, kita sedang tunggu laporan daripada Kerajaan Persekutuan sebab ia melibatkan agensi Persekutuan. Jadi negeri tiada masalah, saya memang akan mengesyorkan untuk ia didedahkan dan boleh ditonton atau pun disemak,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Program Tuisyen Rakyat Selangor dan Program Didik Kasih 2026 di Shah Alam di sini, hari ini.
Dalam kejadian pada 1 April tahun lalu itu, sebanyak 81 rumah dilaporkan musnah dengan kerosakan struktur melebihi 40 peratus, 81 rumah lagi separa musnah, 57 rumah terjejas tetapi tidak terbakar, manakala 218 rumah tidak terjejas termasuk di Kampung Tengah, Puchong.
Kerajaan negeri menegaskan komitmen untuk memastikan hasil siasatan itu akan diumumkan kepada rakyat setelah semua proses penelitian dan penyelarasan bersama pihak berkaitan dimuktamadkan.