2,870 liter diesel disyaki diseleweng dirampas di Labuan

Foto KPDN Labuan

LABUAN, 22 Mei – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Labuan merampas kira-kira 2,870 liter minyak diesel yang disimpan tanpa kebenaran dalam satu serbuan di sebuah rumah di Kampung Tanjung Aru, di sini pada Khamis.

RINGKASAN BERITA AI
  • Operasi Op Tiris 4.0 dan Op Keberhasilan dijalankan hasil risikan Unit Risik KPDN dengan kerjasama PDRM dan Balai Polis Lubuk Temiang.
  • Pemeriksaan menemui tiga tangki IBC 1,000 liter, tiga pam elektrik, hos, sebuah pacuan empat roda dan tangki tambahan kenderaan.
  • Semua barang disita untuk siasatan bawah Akta Kawalan Bekalan 1961; nilai sitaan dianggarkan RM106,570.50 dan tindakan undang-undang akan diambil.

Operasi menerusi Op Tiris 4.0 (Bersepadu) dan Op Keberhasilan itu dijalankan hasil risikan Unit Risik KPDN Labuan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) Labuan serta anggota Balai Polis Lubuk Temiang.

Pengarah KPDN Labuan, Junaidah Arbain berkata, pemeriksaan menemukan tiga tangki jenis Intermediate Bulk Container (IBC) berkapasiti 1,000 liter yang mengandungi cecair disyaki minyak diesel.

Turut ditemui tiga pam elektrik bersama hos, sebuah kenderaan pacuan empat roda serta tangki tambahan kenderaan yang dipercayai digunakan untuk memindahkan barang kawalan berkenaan.

“Semasa operasi dijalankan, tiada individu ditemui di lokasi dan premis itu disyaki dijadikan tempat persinggahan serta penyimpanan sementara minyak diesel sebelum dipindahkan ke lokasi lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kesemua barang kes termasuk minyak diesel disita untuk siasatan lanjut mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dengan nilai keseluruhan sitaan dianggarkan RM106,570.50.

Menurutnya, kes disiasat kerana disyaki memiliki dan menyimpan barang kawalan berjadual tanpa kebenaran sah.

Jika sabit kesalahan, individu boleh didenda sehingga RM1 juta atau dipenjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.

Bagi syarikat pula, denda sehingga RM2 juta boleh dikenakan.

Junaidah menegaskan KPDN tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti penyelewengan barang kawalan bersubsidi sehingga menjejaskan kepentingan rakyat dan negara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.