
TEGUCIGALPA, 22 Mei -Sekurang-kurangnya 19 orang maut dalam satu insiden serangan bersenjata di sebuah ladang kelapa sawit di wilayah Bajo Aguan, utara Honduras, ketika negara Amerika Tengah itu sedang bersiap sedia menghadapi fasa baharu tindakan ketenteraan bagi mengekang jenayah kumpulan kongsi gelap.
- Serangan berlaku di Rigores, kawasan bergolak yang menjadi medan perebutan kawalan ladang sawit dan laluan penyeludupan dadah.
- Sebahagian besar mangsa dipercayai dibunuh dari jarak dekat dengan senjata api berkaliber tinggi, termasuk rifel dan senapang patah.
- Parlimen meluluskan reformasi memberi kuasa kepada tentera sertai operasi keselamatan awam serta menubuhkan unit khas antipenjenayah terancang.
Menteri Keselamatan, Gerzon Velasquez mengesahkan kejadian itu berlaku di Rigores, sebuah kawasan bergolak yang sering menjadi medan pertempuran antara kumpulan kongsi gelap bagi merebut kawalan ke atas ladang kelapa sawit dan laluan penyeludupan dadah.
Siri pembunuhan beramai-ramai terbaharu itu dilaporkan berlaku sejurus selepas badan perundangan Kebangsaan Honduras meluluskan beberapa siri reformasi perundangan bagi menangani keganasan jenayah di negara yang mencatatkan kadar pembunuhan membimbangkan iaitu 24 kes bagi setiap 100,000 penduduk.
Jurucakap pejabat pendakwa raya, Yuri Mora memaklumkan bahawa dua pasukan penyiasat yang dikerahkan ke lokasi kejadian telah menemui 13 mayat di satu kawasan, manakala enam lagi mangsa ditemui di sektor berhampiran dalam ladang berkenaan.
Mengulas mengenai keadaan di tempat kejadian, Velasquez menyifatkannya sebagai satu pemandangan yang ngeri kerana sebahagian besar mangsa dipercayai telah dibunuh dari jarak dekat menggunakan senjata api berkaliber tinggi, termasuk raifel dan senapang patah.
Seorang pemimpin kumpulan petani tempatan yang enggan dikenali atas faktor keselamatan mendedahkan bahawa mangsa yang terkorban merupakan pekerja yang digaji oleh sebuah kumpulan bersenjata yang mengawal ladang kelapa sawit berkenaan.
Menurutnya, insiden tersebut telah mencetuskan suasana cemas dalam kalangan penduduk sekitar berikutan bunyi tembakan bertubi-tubi yang kuat, sekali gus memaksa komuniti setempat sentiasa berada dalam keadaan berjaga-jaga.
Meskipun terdapat dakwaan daripada beberapa kumpulan petani bahawa tragedi itu berpunca daripada konflik pertikaian tanah yang berlarutan dengan syarikat perniagaan pertanian transnasional, namun seorang penyiasat kanan kerajaan menolak dakwaan berkenaan dan menegaskan ia bermotifkan aktiviti pengedaran dadah.
Pihak polis tempatan di Trujillo menjelaskan bahawa kumpulan penjenayah terancang dikesan sering menduduki dan mengeksploitasi hasil ladang itu secara haram bagi menjana dana bagi membiayai pembelian senjata api moden.
Insiden berdarah itu berlaku ketika Presiden baharu Honduras yang berhaluan konservatif, Nasry Asfura, menyatakan komitmennya untuk bekerjasama rapat dengan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, bagi melancarkan operasi besar-besaran membanteras jenayah terancang di rantau Amerika Latin.
Langkah terbaharu yang diluluskan parlimen itu bakal memberi kuasa penuh kepada pihak tentera untuk terlibat dalam operasi keselamatan awam, menubuhkan unit khas antipenjenayah terancang, serta membolehkan kartel dadah dikategorikan sebagai pertubuhan pengganas. – AFP