
PARIS, 21 Mei – Mahkamah Rayuan Paris mendapati Air France dan Airbus bersalah menyebabkan nahas penerbangan Rio-Paris yang mengorbankan 228 orang pada 2009.
- Air France dan Airbus masing-masing diperintahkan membayar 225,000 euro sebagai denda maksimum bagi kes pembunuhan korporat.
- Penerbangan AF447 pada 1 Jun 2009 terjunam ke Atlantik; tiada mangsa terselamat, melibatkan 216 penumpang dan 12 anak kapal.
- Syarikat menafikan liabiliti dan menyalahkan kesilapan juruterbang; Mahkamah Rendah membebaskan mereka pada 2023, pendakwa raya kemudian merayu.
Menurut Mahkamah, pengeluar aeroangkasa terkemuka Eropah itu bertanggungjawab sepenuhnya hingga mencatatkan tragedi terburuk dalam sejarah penerbangan Perancis.
Air France dan Airbus masing-masing diperintahkan membayar 225,000 euro (AS$261,000) sekali gus merekodkan denda maksimum bagi profil pembunuhan syarikat korporat.
Keputusan itu dilihat menjejaskan reputasi bagi kedua-dua syarikat terbabit.
Pada 1 Jun 2009, penerbangan AF447 Air France dalam perjalanan dari Rio de Janeiro ke Paris, sedang melintasi Atlantik apabila juruterbang hilang kawalan ke atas pesawat menyebabkan ia terjunam ke dalam lautan.
Tiada mangsa terselamat dalam kalangan 216 penumpang dan 12 anak kapal melibatkan pesawat A330 buatan Airbus itu.
Antara yang maut termasuk 72 warga Perancis dan 58 warga Brazil.
Syarikat itu menafikan sebarang liabiliti jenayah termasuk menyalahkan kesilapan juruterbang, telah dibebaskan oleh Mahkamah Rendah pada 2023.
Walaupun pendakwa raya pada masa itu telah meminta pertuduhan digugurkan, mereka kemudiannya telah mengemukakan rayuan untuk membenarkan “potensi penuh prosedur rayuan undang-undang” dijalankan.
Perbicaraan rayuan selama lapan minggu berlangsung antara September dan Disember tahun lepas.-AFP