
KUALA LUMPUR, 21 Mei – Sembilan atlet angkat berat negara berjaya melayakkan diri ke Sukan Komanwel 2026 di Glasgow, Scotland dari 24 hingga 31 Julai, dengan dua daripadanya layak secara automatik selepas meraih pingat emas pada Kejohanan Angkat Berat Komanwel 2025 di Ahmedabad.
- Muhamad Aznil Bidin (65 kg) dan Mohamad Syahmi (88 kg) layak automatik selepas memenangi emas di Kejohanan Komanwel 2025.
- Beberapa atlet tersenarai berdasarkan ranking IWF, termasuk Mohamad Aniq Kasdan, Muhammad Erry Hidayat dan Muhammad Hafizuddin Roslin.
- PABM menyasarkan sekurang-kurangnya tiga pingat emas berdasarkan prestasi antarabangsa atlet yang semakin konsisten.
- PABM akan memperkemas latihan, pemulihan, pemakanan dan persiapan mental serta menjemput sokongan korporat untuk pembangunan sukan.
Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) Datuk Ayub Rahmat berkata mereka yang layak secara automatik ialah Muhamad Aznil Bidin bagi kategori 65 kilogram (kg) dan Mohamad Syahmi kategori 88 kg.
“Namun begitu, kita masih menunggu pengesahan rasmi Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) dalam masa terdekat,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Ayub berkata atlet negara yang berada dalam senarai kelayakan awal berdasarkan ranking Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF) ialah Mohamad Aniq Kasdan (kategori 60 kg), Muhammad Erry Hidayat (kategori 79 kg) dan Muhammad Hafizuddin Roslin (kategori 88 kg).
Turut tersenarai Muhammad Farris Haikal (kategori +110 kg), Irene Jane Henry (kategori 48 kg), Nur Syazwani Radzi (kategori 63 kg) dan Siti Aqilah Farhana (kategori +86 kg).
Ayub berkata PABM menyasarkan sekurang-kurangnya tiga pingat emas dalam temasya itu berdasarkan prestasi semasa atlet negara yang semakin konsisten pada peringkat antarabangsa.
“Sasaran ini tidak mustahil kerana sukan angkat berat sentiasa menjadi antara penyumbang pingat emas negara, khususnya pada Sukan Komanwel selain turut konsisten menyumbang pingat pada temasya lain seperti Sukan SEA,” katanya.
Bagaimanapun, beliau secara peribadi mengakui tidak begitu gembira dengan pencapaian keseluruhan atlet negara pada kejohanan kelayakan di Ahmedabad yang berakhir 18 Mei kerana prestasi dan jumlah angkatan dipamerkan belum mencapai tahap sebenar diharapkan PABM.
“Fokus utama selepas ini ialah memperkemas program latihan serta meningkatkan prestasi angkatan, pemulihan atlet, aspek pemakanan sukan dan persiapan mental supaya atlet negara benar-benar bersedia untuk membawa cabaran Malaysia di Glasgow.
“Kita tidak mahu sekadar layak. Kita mahu hadir sebagai pencabar pingat emas dan memberikan saingan sebenar kepada negara lain,” katanya.
Ayub berkata walaupun sukan angkat berat bukan sukan popular di Malaysia, atlet negara sentiasa berjuang di pentas dunia dengan penuh semangat dan disiplin tinggi.
PABM percaya sukan itu mempunyai potensi besar untuk terus mengharumkan nama negara jika mendapat sokongan berterusan semua pihak.
“Sehubungan dengan itu, PABM ingin menjemput syarikat korporat, penaja dan pihak swasta untuk bersama-sama memberikan perhatian serta sokongan kepada pembangunan sukan angkat berat negara,” katanya.
PABM juga merakamkan penghargaan kepada Majlis Sukan Negara, Majlis Olimpik Malaysia, Institut Sukan Negara, jurulatih, pegawai, keluarga atlet dan semua pihak yang sentiasa memberikan komitmen terhadap pembangunan sukan itu.-BERNAMA