Perhebat usaha diplomatik, bebas 29 rakyat Malaysia ditahan Israel

Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Center (SNCC) Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby

SEPANG, 21 Mei -Usaha diplomatik secara agresif bersama beberapa negara kini giat dijalankan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Jemaah Menteri bagi memastikan kesemua 29 rakyat Malaysia yang ditahan rejim Israel dibebaskan segera.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perdana Menteri komited mengetuai rundingan dua hala bersama Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, bagi usaha pembebasan dan keselamatan rakyat Malaysia.
  • Pemantauan melalui bantuan kerajaan Turkiye memberi akses terus untuk memeriksa keadaan rakyat Malaysia dan mengelakkan penahanan di Penjara Ketziot.
  • Menteri Luar menggandakan usaha diplomatik melalui kedutaan di Istanbul, Amman dan Kaherah bagi memastikan keselamatan serta pembebasan segera.

Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Center (SNCC) Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, Perdana Menteri memberi jaminan mengetuai usaha tersebut, khususnya menerusi rundingan dua hala berterusan bersama Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan.

Menurut beliau, usaha itu penting bagi memastikan kesemua aktivis berada dalam keadaan selamat serta mengelakkan mereka daripada ditahan di Penjara Ketziot.

“Melalui hubungan dua hala ini juga, kita menggunakan bantuan kerajaan Turkiye bukan sahaja untuk memantau rakyat mereka, tetapi turut membantu melihat keadaan rakyat Malaysia secara langsung. Itu sahaja yang mampu kita lakukan secara maksimum ketika ini. Dalam tempoh terdekat, kita berharap mereka dapat dibebaskan.

“Jadi itu pentingnya kita benar dan mendapat sokongan daripada kerajaan kerana apa sahaja bentuk ugutan yang bersifat keselamatan ini, terus langsung kita maklumkan kepada pihak kerajaan untuk bantu kita , kerana situasi sekarang dalam keadaan yang sangat tegang,” katanya kepada media dalam sidang media khas, di sini.

Pada masa sama, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan turut mengandakan usaha diplomatik melalui wakil kedutaan Malaysia di Istanbul, Amman dan Kaherah bagi memastikan keselamatan serta pembebasan rakyat Malaysia yang terlibat dalam misi flotila kemanusiaan itu.

Mengulas lanjut, beliau berkata pembebasan segera amat penting memandangkan situasi semasa yang tegang boleh membawa kepada beberapa kemungkinan terhadap aktivis yang ditahan.

“Senario pertama melibatkan aktivis yang baru pertama kali menyertai misi ini dan ditahan pihak Israel. Senario kedua pula melibatkan kumpulan yang berpotensi dipenjarakan lebih lama kerana pernah terlibat dalam misi kemanusiaan sebelum ini.

“Manakala senario ketiga dan paling kritikal ialah melibatkan aktivis yang mengugut tentera rejim Israel sehingga menyebabkan pihak berkuasa negara itu mengancam untuk menahan mereka lebih lama di Penjara Ketziot. Penjara itu merupakan penjara kontroversi di Israel,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.