Soon Huat-Shevon harap dapat kembali sertai RTG

Soon Huat-Shevon masih menyimpan harapan untuk kembali menyertai program RTG – Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 20 Mei – Goh Soon Huat dan Lai Shevon Jemie masih menyimpan harapan untuk kembali menyertai program Road to Gold (RTG) dalam memantapkan persiapan mereka menjelang temasya utama antarabangsa akan datang.

RINGKASAN BERITA AI
  • Fokus utama adalah memberi aksi terbaik tanpa dibebani tekanan untuk mengejar kemenangan.
  • Menggunakan pendekatan berbeza selepas pengalaman gangguan emosi dan psikologi kerana terlalu memikirkan kemenangan.
  • Sokongan moral dan psikologi RTG serta MSN memberi motivasi dan keyakinan kepada mereka sebagai pemain profesional.
  • Berjaya mara ke pusingan seterusnya Malaysia Masters 2026 selepas menewaskan pasangan AS 21-8, 21-16 dalam 26 minit.

Jelas Shevon, mereka tetap akan berjuang mendapatkan semula slot dalam program berprestij itu meskipun tidak lagi berada dalam senarai semasa RTG.

Menurutnya, fokus utama ketika ini adalah memberikan aksi terbaik di gelanggang tanpa terlalu dibebani tekanan untuk memburu kemenangan.

“Pastinya kami akan terus berjuang. Namun, soal dapat kembali menyertai RTG atau tidak, kami serahkan kepada keputusan di gelanggang.

“Sebelum ini apabila terlalu memikirkan untuk menang dan terlalu mahu membuktikan sesuatu, ia sedikit sebanyak mengganggu emosi dan psikologi kami.

“Jadi kali ini kami mahu melangkah dengan pendekatan berbeza. Walaupun sedih tidak terpilih semula dalam program itu, kami mahu terus bergerak ke hadapan dan melakukan lebih baik daripada sebelum ini,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan pusingan pertama acara beregu campuran Kejohanan Badminton Malaysia Masters 2026 di Unifi Arena, di sini hari ini.

Shevon turut mengakui program RTG banyak membantu mereka terutama dari sudut sokongan moral dan psikologi sebagai pemain profesional.

Menurutnya, sokongan daripada badan sukan negara memberi motivasi tambahan buat mereka untuk terus bersaing di peringkat tertinggi.

“Mungkin ramai nampak bantuan dari segi teknikal atau kemudahan, tetapi bagi kami yang paling besar ialah sokongan moral.

“Apabila tahu ada pihak seperti Majlis Sukan Negara (MSN) berada di belakang kami, ia memberi keyakinan bahawa kami tidak bergerak sendirian,” katanya.

Pasangan beregu campuran profesional itu kini bersaing dalam Malaysia Masters 2026 dan melangkah ke pusingan seterusnya selepas menewaskan gandingan Amerika Syarikat, Chen Zhi Yi-Francesca Corbett 21-8, 21-16 dalam tempoh 26 minit.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.