
GENEVA, 20 Mei – Malaysia terus memperkukuh komitmen dalam agenda penjagaan kesihatan mata apabila mengangkat pendekatan Penjagaan Mata Bersepadu Berpusatkan Insan sebagai komponen penting dalam kerangka Liputan Kesihatan Sejagat (UHC) pada acara sampingan Perhimpunan Kesihatan Sedunia ke-79 (WHA79) di sini.
- Malaysia komited memastikan akses penjagaan mata menyeluruh dengan meruntuhkan halangan geografi, kewangan dan sosial.
- 498 klinik kesihatan awam dilengkapi kamera fundus; Klinik Katarak bergerak menyediakan pembedahan kepada penduduk luar bandar dan pedalaman.
- Sistem digital DR MATA dipercepatkan serta Tinjauan dan Pangkalan Data Mata Kebangsaan dipakai untuk pengesanan awal dan penilaian keberkesanan.
Tumpuan berkenaan menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad sejajar rekod bahawa lebih 1.1 bilion penduduk dunia kini berdepan masalah kehilangan penglihatan yang sebenarnya boleh dielakkan.
“Isu berkenaan berkait rapat dengan aspek kesaksamaan dan pembangunan mampan,” katanya.
Malaysia komited memastikan akses penjagaan mata yang lebih menyeluruh dengan ‘meruntuhkan’ halangan geografi, kewangan dan sosial yang menghalang rakyat mendapatkan rawatan sewajarnya.
Sehingga Jun 2025, sebanyak 498 klinik kesihatan awam di seluruh Malaysia telah dilengkapi kamera fundus bagi membolehkan saringan awal penyakit mata akibat diabetes dilaksanakan terus di peringkat komuniti.
“Kementerian Kesihatan (KKM) turut memperluas capaian rawatan menerusi perkhidmatan bas bergerak Klinik Katarak KKM yang menyediakan kemudahan pembedahan kepada penduduk luar bandar dan kawasan pedalaman,” katanya.
Usaha itu diperkukuhkan lagi melalui sistem digital DR MATA yang dibangunkan bagi mempercepat proses saringan serta memperluas pengesanan awal penyakit berisiko menyebabkan kebutaan.
Kesemua intervensi dan rawatan berkaitan dipantau menerusi Tinjauan Mata Kebangsaan dan Pangkalan Data Mata Kebangsaan bagi memastikan keberkesanan rawatan dapat dinilai secara klinikal dan menyeluruh.
Datuk Seri Dr. Dzulkefly turut menyifatkan perbincangan sempena WHA79 itu sebagai langkah penting dalam persediaan negara-negara anggota menjelang Sidang Kemuncak Kesihatan Mata Global di Antigua dan Barbuda pada November tahun hadapan.