Memperkukuh sokongan penjaga anak istimewa menerusi pementoran

Gambar hiasan janaan AI/Penulis

SAUDARA PENGARANG

RINGKASAN BERITA AI
  • Anak OKU memerlukan penjagaan menyeluruh termasuk keperluan fizikal, kesihatan, emosi dan pendidikan.
  • Penjaga sering mengalami tekanan emosi, fizikal dan sosial memerlukan sokongan berterusan.
  • Pementoran oleh pakar, penjaga berpengalaman dan agensi dapat membina pengetahuan serta sokongan emosi.
  • Program pementoran berstruktur serta kolaborasi kerajaan, NGO dan komuniti perlu diperkukuh untuk ekosistem sokongan.

Dalam usaha membina masyarakat yang inklusif dan sejahtera, perhatian khusus diberikan kepada semua lapisan masyarakat termasuk memenuhi keperluan anak-anak istimewa atau Orang Kurang Upaya (OKU).

Keperluan mereka bukan hanya tertumpu kepada aspek fizikal semata-mata tetapi merangkumi dimensi penjagaan yang lebih menyeluruh melibatkan emosi, sosial, pendidikan dan sokongan berterusan daripada keluarga serta komuniti.

Anak-anak Istimewa Perlukan Penjagaan Rapi

Dari sudut penjagaan asas, anak-anak OKU memerlukan perhatian rapi terhadap keperluan harian seperti pemakanan, kebersihan diri, kesihatan dan keselamatan. Sesetengah anak OKU, khususnya yang mempunyai ketidakupayaan fizikal atau perkembangan, memerlukan bantuan penuh dalam aktiviti harian seperti mandi, berpakaian dan bergerak.

Oleh itu, penjaga perlu mempunyai kesabaran, kemahiran serta pengetahuan khusus bagi memastikan keperluan ini dipenuhi dengan penuh kasih sayang dan maruah.

Selain itu, aspek penjagaan kesihatan juga amat penting. Anak OKU sering memerlukan rawatan susulan, terapi berkala seperti fisioterapi, terapi pertuturan atau terapi cara kerja.

Penjagaan ini bukan sahaja bertujuan meningkatkan fungsi fizikal dan kognitif tetapi juga membantu mereka mencapai tahap kebolehan optimum dalam kehidupan seharian. Justeru, akses kepada perkhidmatan kesihatan yang berkualiti dan konsisten menjadi satu keperluan utama.

Di samping keperluan fizikal, penjagaan emosi tidak boleh dipandang ringan. Anak OKU berdepan cabaran dalam memahami diri dan persekitaran mereka yang kadangkala boleh menimbulkan rasa rendah diri, tekanan atau pengasingan sosial.

Mereka memerlukan sokongan emosi yang berterusan, termasuk kasih sayang, galakan dan penerimaan tanpa syarat daripada keluarga serta masyarakat. Persekitaran yang positif dan inklusif mampu membantu mereka membina keyakinan diri dan kesejahteraan mental.

Dalam konteks sosial pula, anak OKU memerlukan peluang untuk berinteraksi dan membina hubungan dengan rakan sebaya. Penjagaan yang baik harus merangkumi pendedahan kepada aktiviti sosial, rekreasi dan komuniti agar mereka tidak terpinggir. Ini penting bagi perkembangan kemahiran komunikasi, empati dan rasa kebersamaan dalam masyarakat.

Seterusnya, keperluan pendidikan juga merupakan sebahagian daripada aspek penjagaan yang kritikal. Anak OKU memerlukan pendekatan pembelajaran yang bersesuaian dengan keupayaan mereka, sama ada melalui pendidikan khas, pendidikan inklusif atau sokongan pembelajaran tambahan.
Guru dan penjaga perlu bekerjasama untuk memastikan proses pembelajaran berlangsung secara efektif dan tidak membebankan anak tersebut.

Akhir sekali, penjagaan anak OKU tidak boleh digalas oleh keluarga sahaja. Sokongan berterusan komuniti, pelbagai institusi berkaitan dan pihak kerajaan amat penting dalam menyediakan kemudahan, bantuan kewangan, program intervensi awal serta kesedaran awam. Pendekatan holistik ini akan memastikan anak OKU mendapat penjagaan yang menyeluruh dan berterusan.

Penjaga Anak OKU Perlu Sokongan Demi Kesejahteraan Diri

Namun, ada realiti yang mungkin terlepas pandang oleh majoriti iaitu memahami cabaran dihadapi oleh penjaga anak-anak istimewa ini. Komitmen tinggi yang diberikan oleh penjaga anak OKU dalam memastikan kesejahteraan anak terpelihara, mungkin meningkatkan tekanan emosi, fizikal dan sosial penjaga itu sendiri.

Dalam konteks ini, peranan mentor muncul sebagai satu bentuk sokongan yang signifikan dalam membantu penjaga anak OKU mengurus cabaran tersebut dengan lebih berdaya tahan. Ini kerana, menjaga anak OKU bukan hanya tanggungjawab harian tetapi melibatkan komitmen jangka panjang yang menuntut kesabaran, pengetahuan serta kekuatan emosi tinggi.

Ramai penjaga, khususnya ibu bapa, sering berasa terasing apabila berhadapan dengan situasi yang kompleks seperti pengurusan tingkah laku, akses kepada perkhidmatan sokongan serta kekangan masa dan kewangan.

Tanpa bimbingan yang sesuai, keadaan ini berpotensi menjejaskan kesejahteraan psikologi penjaga, seterusnya memberi kesan kepada kualiti penjagaan yang diberikan kepada anak OKU.

Sehubungan itu, pendekatan pementoran dilihat sebagai satu intervensi yang berpotensi dan berimpak tinggi dalam menyokong penjaga sekali gus meminimumkan cabaran mereka dalam menguruskan anak OKU.

Mentor yang dimaksudkan boleh terdiri daripada individu berpengalaman seperti pakar dalam bidang pendidikan khas, pegawai kebajikan atau penjaga yang lebih berpengalaman, boleh berperanan sebagai pembimbing yang membantu penjaga memahami situasi mereka dengan lebih jelas serta membina keyakinan dalam mengurus cabaran harian.

Melalui hubungan berteraskan sokongan dan kepercayaan, penjaga bukan sahaja memperoleh maklumat praktikal tetapi yang lebih penting mendapat sokongan emosi berterusan.

Dalam usaha memastikan manfaat pementoran ini dapat dirasai secara lebih meluas, akses kepada mentor perlu diperkukuh melalui inisiatif yang tersusun dan inklusif. Agensi kerajaan berkaitan boleh memainkan peranan dengan menyediakan program pementoran berstruktur yang menghubungkan penjaga dengan pakar atau individu berpengalaman.

Pada masa yang sama, organisasi bukan kerajaan (NGO) yang aktif dalam bidang kebajikan dan pendidikan khas boleh menjadi platform sokongan komuniti dengan menganjurkan sesi perkongsian, kumpulan sokongan serta program bimbingan berterusan.

Selain itu, institusi pendidikan dan komuniti setempat juga boleh menyumbang melalui kolaborasi strategik bagi memperluas jaringan mentor yang mudah diakses oleh penjaga. Lebih penting lagi, pendekatan pementoran tidak hanya memberi manfaat kepada individu tetapi juga menyumbang kepada pembinaan komuniti sokongan yang lebih kukuh.

Apabila penjaga saling berhubung dan berkongsi pengalaman, satu jaringan sosial yang inklusif dapat diwujudkan. Ini bukan sahaja mengurangkan rasa keterasingan tetapi dapat membuka ruang kepada kolaborasi dalam mencari penyelesaian lebih berkesan terhadap cabaran yang dihadapi.

Dalam menghadapi realiti kehidupan penjaga anak OKU, adalah penting untuk memahami bahawa mereka juga memerlukan sokongan yang berterusan.

Justeru, usaha memperkukuh akses kepada mentor wajar diberi keutamaan dalam membina ekosistem sokongan mampan kepada penjaga anak OKU kerana pada akhirnya, manfaat daripada sokongan ini akan turut dirasai oleh anak OKU itu sendiri.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.


Dr. Nur Fariha Mohd Noor
Felo Penyelidik
Unit Kajian Kepimpinan MADANI
Pusat Pengajian Kerajaan
Universiti Utara Malaysia
E-mel: nurfariha@uum.edu.my

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.