Guna strategi 3-3-3, elak terpedaya produk kesihatan ‘sampah’

Gambar hiasan/RTM

SAUDARA PENGARANG

RINGKASAN BERITA AI
  • Pastikan produk berdaftar KKM: hologram, nombor pendaftaran MAL (T/N) dan nombor siri KKLIU disemak.
  • Beli hanya dari farmasi atau premis berlesen; semak pengilang, pemegang lesen dan pensijilan tambahan seperti Halal dan GMP.
  • Rujuk doktor atau ahli farmasi, pantau kesan berkala dan lapor sebarang kesan sampingan secara rasmi kepada NPRA.

Dalam keadaan kos sara hidup yang menuntut kita lebih berjimat-cermat, pengurusan kesihatan secara pencegahan kini bukan lagi satu pilihan, tetapi keperluan.

Ramai rakyat Malaysia mula beralih kepada produk kesihatan semulajadi sebagai inisiatif untuk kekal sihat dan sebagai pencegahan penyakit yang memerlukan kos rawatan yang tinggi.

Namun, niat untuk berjimat mungkin memakan diri sekiranya kita terjebak dengan produk “sampah” yang akhirnya merosakkan buah pinggang.

Kita semua maklum bahawa pencegahan penyakit adalah jauh lebih murah daripada menanggung kos rawatan hospital yang kian meningkat.

Namun, di sebalik keghairahan kita mencari alternatif dalam kesihatan preventif ini, terdapat pelbagai jerat yang sedang menanti.

Selain daripada penjualan produk palsu dan produk yang dicampur palsu dengan racun berjadual, kini kita juga menyaksikan penipuan pengiklanan canggih atau sofistikated melalui teknologi deepfake dan manipulasi AI.

Video “doktor” atau “selebriti” yang mempromosikan herba ajaib boleh dijana dalam sekelip mata, menyasarkan emosi dan dompet anda.

Bagaimanakah kita boleh memastikan produk herba yang dibeli menjadi pelaburan kesihatan yang bijak dan bukannya liabiliti yang bakal merosakkan buah pinggang?

Jawapannya terletak pada Model Penggunaan Selamat yang boleh diringkaskan melalui strategi ‘3-3-3’.

Tiga ‘Benteng Utama’ Elemen Wajib

Sebelum anda mengeluarkan wang dari dompet, pastikan produk kesihatan tersebut mempunyai tiga bukti kepatuhan garis panduan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Ini adalah bukti selamat paling asas:

1. Hologram Tulen

Setiap produk berdaftar wajib mempunyai pelekat keselamatan hologram. Ia adalah identiti pertama yang membezakan produk sah dengan produk “kaki lima” digital atau palsu.

2. Nombor Pendaftaran MAL

Pastikan terdapat kod pendaftaran yang diakhiri dengan huruf ‘T’ dana ‘N’. Dua kategori ini Adalah produk tradisional dan suplemen.

Kod ini membuktikan produk tersebut telah melalui tapisan keselamatan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dan bebas daripada campur palsu racun berjadual serta logam berat.

3. Nombor Siri KKLIU

Iklan yang jujur tidak akan lari daripada undang-undang. Nombor pendaftaran iklan perubatan ini memastikan pengeluar tidak membuat dakwaan melampau seperti “sembuh dalam masa 3 hari”. Iklan untuk produk kesihatan wajib berdaftar dengan KKM dan boleh disemak.

Tiga ‘Elemen Pengukuhan’ 

Jangan berhenti pada kotak produk sahaja. Pengguna bijak di era ekonomi mencabar ini akan melakukan siasatan atau pemeriksaan lebih terperinci untuk mengelakkan kerugian:

1. Premis Jualan Berdaftar

Belilah daripada farmasi atau kedai kesihatan berlesen. Mengelakkan pembelian daripada penjual tanpa identiti di platform e-dagang bukan sahaja menyelamatkan nyawa, malah mengelakkan anda menjadi mangsa penipuan atau scammer.

2. Pengilang dan Pemegang Lesen Sah

Produk yang selamat datang daripada ekosistem yang telus. Semak siapa pengeluar dan pemegang lesennya bagi memastikan mereka mempunyai kredibiliti dalam industri.

3. Pensijilan Tambahan

Di Malaysia, pensijilan seperti Halal atau pengiktirafan amalan perkilangan baik (GMP) memberikan lapisan keyakinan tambahan bahawa setiap sen yang anda laburkan adalah untuk kualiti, bukan sekadar janji kosong.

Tiga ‘Amalan Terbaik’

Setelah anda mendapatkan produk yang selamat dan tepat, amalkan pula amalan terbaik ini untuk memastikan kesihatan anda benar-benar dipantau dan terjaga. Kita tidak mahu anda melaburkan duit kepada produk kesihatan, tetapi sebaliknya memberi mudarat kepada keadaan kesihatan anda pula. Tiga amalan ini akan melengkapkan perlindungan anda:

1. Rujuk Pakar Kesihatan

Jangan jadikan “Doktor AI” atau testimoni tular sebagai rujukan mutlak. Berbincanglah dengan doktor atau ahli farmasi, terutamanya jika anda adalah pesakit kronik, ibu mengandung, atau ingin memberikan produk tersebut kepada kanak-kanak.

2. Pemantauan Kesihatan Berkala

Pantau tindak balas badan terhadap penggunaan produk tersebut secara konsisten. Tubuh manusia adalah mesin yang unik; apa yang sesuai untuk orang lain mungkin tidak sesuai untuk anda.

Buat pemeriksaan lengkap badan termasuk ujian air kencing dan profil darah yang lengkap supaya perubahan keadaaan kesihatan boleh dilihat dengan terperinci.

3. Lapor Kesan Sampingan

Jika berlaku kesan luar biasa, walaupun ringan, jadilah wira dengan melaporkannya secara rasmi sama ada dengan berjumpa dengan doctor atau membuat laporan sendiri di lawan sesawang NPRA.

Tindakan anda melaporkan kesan sampingan boleh menyelamatkan beribu-ribu pengguna lain daripada nasib yang sama.

Menguruskan kesihatan di tengah-tengah tekanan ekonomi memerlukan kebijaksanaan, bukan sekadar keberanian mencuba.

Dengan mengikut model strategi 3-3-3 ini, kita bukan sahaja membina “firewall” mental terhadap manipulasi digital melalui pengiklanan dan pelantar e-dagang, malah kita sedang melakukan pelaburan jangka panjang.

Kesihatan yang terjaga bermakna produktiviti yang tinggi dan kos perubatan yang rendah di masa hadapan. Ingatlah, dalam dunia yang penuh dengan ilusi AI dan tekanan inflasi, skeptikal yang sihat adalah aset terbesar anda. Semak dahulu sebelum membeli, kerana kesihatan anda tidak mempunyai nilai tukaran wang ringgit.

Kos untuk mencegah adalah jauh lebih murah daripada mengubat dan merawat. Dengan mengikut model penggunaan selamat ini, anda bukan sahaja melindungi kesihatan fizikal, malah menyelamatkan “kesihatan” dompet anda daripada penipuan iklan yang licik dan produk palsu yang mahal.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.


Dr. Wardah Mustafa Din
Pensyarah Kanan
Pusat Pengajian Citra Universiti
Universiti Kebangsaan Malaysia
E-mel: wardahmustafadin@ukm.edu.my


Ts. Dr. Ahmad Firdhaus Arham
Pensyarah Kanan
Pusat Pengajian Citra Universiti
Universiti Kebangsaan Malaysia
E-mel: benferdaoz@ukm.edu.my

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.