
ALOR SETAR, 20 Mei – Individu dikenali sebagai Bagok yang dikaitkan dengan sindiket pengedaran dadah digelar ‘Pablo Escobar 2.0’ di Pulau Langkawi akan didakwa di Mahkamah Langkawi pada Khamis.
- Ujian saringan air kencing suspek didapati positif dadah.
- Polis Kedah menegaskan tidak akan berkompromi atau melindungi mana-mana pihak, termasuk anggota polis.
- Ujian air kencing terhadap anggota yang dikaitkan dilakukan dua kali dan kedua-duanya negatif.
- Pertukaran tempat kerja anggota tidak bermakna perlindungan; siasatan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Negeri diteruskan.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, suspek berusia 47 tahun itu akan didakwa mengikut Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952.
Beliau berkata, tindakan terhadap suspek diambil selepas hasil ujian saringan air kencing mendapati lelaki terbabit positif dadah.
Dalam perkembangan sama, Adzli menegaskan polis tidak akan berkompromi atau melindungi mana-mana pihak termasuk anggota polis yang dikaitkan dengan sindiket berkenaan.
Beliau berkata demikian bagi menepis dakwaan netizen yang mempertikaikan tindakan polis susulan dakwaan pengedaran dadah di Langkawi didalangi seorang anggota polis dikenali sebagai ‘Mr A’.
“Tidak ada pilih kasih dan tidak ada perlindungan. Kita telah buat serbuan di rumah anggota terbabit dan ujian air kencing dilakukan dua kali, namun keputusannya negatif.
“Pertukaran tempat kerja anggota itu tidak bermakna kita melindungi atau menyelamatkannya. Tindakan dan siasatan masih diteruskan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah pada Khamis.
Menurutnya, siasatan lanjut oleh Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Kedah masih diteruskan.