Wabak Ebola: Enam tan lagi bekalan perubatan dihantar ke Congo

WHO sebelum ini menggerakkan 4.7 tan bekalan perubatan penting dan kit kecemasan bagi menyokong kawasan terjejas susulan wabak Ebola di Republik Demokratik Congo dari Lapangan Terbang Antarabangsa Jomo Kenyatta (JKIA) di Nairobi, Kenya. Foto REUTERS

KINSHASA, 19 Mei – Sebanyak enam tan bekalan perubatan bagi membendung wabak Ebola dijangka tiba di Republik Demokratik Congo (DRC) pada Selasa, namun kapasiti ujian yang terhad dilaporkan memperlahankan usaha menangani penularan wabak itu, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

RINGKASAN BERITA AI
  • WHO mengesahkan sekurang-kurangnya 500 kes disyaki Ebola dan 130 kematian, dengan penularan turut sampai ke Uganda.
  • WHO hantar 12 tan bekalan termasuk peralatan perlindungan diri dan kit sampel untuk sokong petugas barisan hadapan.
  • WHO isytihar darurat kesihatan antarabangsa; kekurangan dana dan ujian khusus strain menyukarkan pengesanan dan pemantauan.

WHO memaklumkan terdapat sekurang-kurangnya 500 kes disyaki Ebola dan 130 kematian disyaki akibat wabak itu, yang turut merebak ke negara jiran, Uganda.

Wakil WHO di wilayah Ituri, DRC, Anne Ancia berkata pihaknya telah menghantar 12 tan bekalan, manakala enam tan lagi dijadual tiba hari ini.

Menurut beliau, bekalan itu termasuk peralatan perlindungan diri untuk petugas kesihatan barisan hadapan serta kit sampel ujian.

Ancia berkata masih terdapat “ketidakpastian besar” mengenai tahap dan skala penularan strain Bundibugyo Ebola, sambil menambah usaha sedang dipertingkat bagi memperkukuh pemantauan, ujian saringan dan pengesanan kontak rapat.

Beliau berkata kapasiti ujian bagi strain Bundibugyo amat terhad dengan hanya enam ujian mampu dijalankan dalam tempoh sejam.

“Wabak itu mengambil masa beberapa minggu untuk dikesan sebahagiannya kerana kit ujian yang digunakan di kawasan terjejas direka khusus untuk strain Zaire yang lebih lazim.

“Keupayaan pemantauan dan penyiasatan di rantau ini secara amnya sangat terhad,” katanya.

Ancia turut memaklumkan, kekurangan dana memberi kesan besar terhadap keupayaan WHO dalam memerangi Ebola.

Ia susulan Amerika Syarikat secara rasmi keluar daripada WHO pada Januari lalu dan di bawah pentadbiran Presiden Donald Trump telah mengurangkan perbelanjaan kesihatan global secara drastik, namun Ancia berkata kerjasama dengan Amerika Syarikat dalam menangani wabak itu masih berjalan dengan “amat baik”.

“Kami memahami bahawa kami tidak dapat menerima pembiayaan itu, dan itu tidak mengapa, tetapi kami mahu terus berkomunikasi, bertukar maklumat dan bekerjasama,” katanya.

Terdahulu, WHO hari ini mengisytiharkan darurat kesihatan antarabangsa susulan penularan wabak Ebola di DRC.

WHO turut mengadakan mesyuarat jawatankuasa kecemasannya hari ini.

Ketua WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus sebelum ini telah mengisytiharkan kecemasan kesihatan awam antarabangsa susulan wabak itu.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.