
RAMALLAH, 19 Mei – Pergerakan Fatah akan mengutamakan Gaza dan mengembalikannya ‘ke pangkuan legitimasi Palestin’, demikian dinyatakan Yasser Abbas, 64 yang juga merupakan anak kepada Presiden Palestin, Mahmoud Abbas.
- Kongres Fatah pertama sejak sedekad diadakan ketika pergerakan berdepan cabaran besar susulan perang dahsyat di Gaza.
- Fatah menuntut perpaduan nasional berdasarkan satu undang-undang, satu negara, satu senjata sah, dan pengiktirafan PLO sebagai wakil sah rakyat Palestin.
- Pergerakan mengumumkan rancangan pemilihan Majlis Kebangsaan 1 November, diikuti pilihan raya umum serta pembinaan semula dikaitkan kepada kerajaan Palestin.
Beliau menyatakan perkara itu sehari selepas beliau dipilih menyertai badan tertinggi pembuat keputusan pergerakan itu.
Kongres pertama Fatah dalam tempoh sedekad berlangsung ketika pergerakan Palestin tersebut berdepan cabaran besar susulan perang dahsyat di Gaza.
Mahmoud Abbas, 90, dipilih semula sebagai Ketua Fatah, manakala anaknya Yasser Abbas, berjaya memperoleh tempat dalam jawatankuasa pusat pergerakan itu.
Dalam kenyataan sulung selepas pemilihannya, Yasser menegaskan bahawa beliau akan memberi tumpuan kepada “Gaza terlebih dahulu, tahanan, keluarga syuhada serta kem pelarian.
“Kami akan berusaha mengembalikan Gaza ke pangkuan legitimasi Palestin,” katanya kepada wartawan di bandar Ramallah di Tebing Barat.
Fatah sejak sekian lama menjadi kuasa dominan dalam Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO), iaitu satu-satunya wakil rasmi rakyat Palestin di peringkat antarabangsa.
Menurut Yasser Abbas, usaha mencapai perpaduan nasional sepenuhnya memerlukan persetujuan terhadap semua syarat penyertaan dalam PLO termasuk satu undang-undang, satu negara, satu senjata yang sah serta pengiktirafan bahawa organisasi itu merupakan satu-satunya wakil sah rakyat Palestin.
“Sesiapa yang menerima perkara itu dialu-alukan,” katanya.
Dalam beberapa dekad kebelakangan ini, populariti dan pengaruh Fatah semakin merosot susulan perpecahan dalaman serta kekecewaan rakyat terhadap kebuntuan proses damai Palestin-Israel.
Keadaan itu mendorong peningkatan sokongan terhadap Hamas yang memenangi pilihan raya legislatif terakhir pada 2006 sebelum mengusir Fatah dari Gaza selepas tercetus konflik antara puak.
Menerusi pelan damai Gaza yang dicadangkan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, Hamas tidak akan memainkan sebarang peranan dalam pentadbiran masa depan wilayah itu.
Pelan tersebut turut menuntut pembaharuan menyeluruh terhadap Pihak Berkuasa Palestin yang diterajui Fatah sebagai syarat untuk memainkan peranan bermakna di Gaza pascaperang.
Pada Isnin, kongres Fatah mengumumkan keputusan awal rasmi pemilihan jawatankuasa pusat dan majlis revolusi, iaitu badan seperti parlimen parti itu.
Kenyataan penutup kongres menyebut bahawa “tiada negara tanpa Gaza dan tiada negara di Gaza.
“Sebarang pengaturan pentadbiran antarabangsa perlu memastikan gencatan senjata dikekalkan, penamatan pendudukan, kelancaran bantuan kemanusiaan serta pelaksanaan proses pemulihan dan pembinaan semula yang dikaitkan secara jelas dengan kerajaan Palestin,” menurut kenyataan itu.
Fatah turut memaklumkan pihaknya sedang menuju ke arah pemilihan Majlis Kebangsaan Palestin, iaitu Parlimen PLO, pada 1 November depan sebelum diikuti pilihan raya umum.
Mahmoud Abbas dan Pihak Berkuasa Palestin kini berdepan tekanan antarabangsa yang semakin meningkat supaya melaksanakan reformasi dan mengadakan pilihan raya susulan dakwaan rasuah serta kelembapan politik.- AFP