
KUALA LUMPUR, 18 Mei – Skuad regu negara meneruskan kemaraan bergaya ke suku akhir Piala Dunia Sepak Takraw 2026 selepas mudah menundukkan Singapura 2-0 sekali gus muncul juara Kumpulan A.
- Regu utama: Mohammad Syahir (tekong), Mohd Azlan (perejam) dan Farhan Adam (kapten); Muhammad Haziq dan Muhammad Noraizat dimasukkan.
- Awal set pertama Syahir buat beberapa kesilapan servis, tetapi pasukan bangkit menang set pertama 15-9 dan set kedua 15-5.
- Ahmad Jais: prestasi belum capai tahap terbaik; servis perlu segera diperbaiki menjelang suku akhir menentang Filipina.
Aksi di Stadium Titiwangsa itu menyaksikan regu negara dibarisi Mohammad Syahir Mohd Rosdi (tekong), Mohd Azlan Alias (perejam) dan Farhan Adam (kapten) tampil lebih dominan untuk mengatasi cabaran lawan tanpa banyak masalah.
Walaupun Mohammad Syahir melakukan beberapa kesilapan servis pada awal set pertama, skuad negara pantas memperkemaskan permainan sebelum menjarakkan kedudukan untuk menang 15-9.
Momentum cemerlang itu diteruskan dalam set kedua apabila pasukan kendalian Ahmad Jais Baharudin yang memasukkan Muhammad Haziq Hairul Nizam dan Muhammad Noraizat Mohd Nordin berjaya menguasai permainan sebelum menamatkan saingan dengan kemenangan 15-5.
Bagaimanapun, Ahmad Jais mengakui prestasi keseluruhan skuad regu negara masih belum mencapai tahap terbaik meskipun berjaya menamatkan aksi kumpulan tanpa kalah.
“Momentum mereka belum lagi mencapai ke tahap yang terbaik dan kita berharap untuk pasukan regu kita akan meningkat dari semasa ke semasa khususnya pada perlawanan malam ini di peringkat suku akhir” katanya.
Beliau turut menegaskan aspek servis perlu segera diperbaiki bagi memastikan rentak permainan negara lebih konsisten menjelang aksi suku akhir.
Malaysia sebelum ini menewaskan Jepun 2-0 dalam acara regu bagi aksi pembukaan Kumpulan A dan bakal berdepan Filipina di peringkat suku akhir.