
KUALA LUMPUR, 18 Mei – Landskap politik negara kembali mencuri tumpuan apabila Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai Ahli Parlimen kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dr Johari Abdul, sekali gus membuka laluan kepada pengosongan dua kerusi berkenaan.
- Meneroka agenda politik baharu sebagai tujuan utama tindakan yang diambil.
- Memulangkan semula mandat kepada pengundi dianggap tindakan tepat dan terhormat.
- Merakamkan penghargaan kepada pengundi yang memberi kepercayaan selama dua penggal.
- Pusat khidmat akan terus beroperasi seperti biasa untuk membantu penduduk setempat.
Menerusi kenyataan bersama, kedua-dua pemimpin itu berkata keputusan tersebut dibuat susulan hasrat mereka untuk meneroka agenda politik baharu.
Menurut mereka, langkah memulangkan semula mandat kepada pengundi di Pandan dan Setiawangsa disifatkan sebagai tindakan yang tepat dan terhormat memandangkan mereka dipilih atas tiket Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum lalu.
“Kami turut merakamkan penghargaan kepada pengundi di kedua-dua kawasan Parlimen tersebut yang telah memberi kepercayaan kepada mereka untuk berkhidmat selama dua penggal.
“Bagaimanapun, pusat khidmat kami di Pandan dan Setiawangsa akan terus beroperasi seperti biasa bagi membantu penduduk setempat,” kata mereka menerusi kenyataan dikeluarkan hari ini.