
KUALA LUMPUR, 18 Mei – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menerima kunjungan hormat perpisahan Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia, B.N. Reddy, yang bakal menamatkan tempoh perkhidmatan beliau di negara ini tidak lama lagi.
- Memperkukuh hubungan dua hala Malaysia-India pada tahap Kerjasama Strategik Komprehensif, memperluas kerjasama merentasi pelbagai bidang.
- Perdagangan dua hala mencatat USD18.59 bilion pada 2025, mengekalkan India sebagai rakan dagang terbesar Malaysia di Asia Selatan.
- Kerjasama dalam digital dan teknologi baharu berkembang, termasuk Mesyuarat Pertama Malaysia-India Digital Council dan MY-India AI Conclave.
Datuk Seri Anwar menerusi hantaran di Facebook berkata, pertemuan itu turut dimanfaatkan bagi memperkukuh hubungan dua hala Malaysia dan India yang kini berada pada tahap Kerjasama Strategik Komprehensif.
Ini sekali gus mencerminkan iltizam bersama dalam memperluas kerjasama merentasi pelbagai bidang termasuk perdagangan, digital, kecerdasan buatan (AI), keterjaminan makanan, pendidikan serta hubungan rakyat dengan rakyat.
“Saya turut menyentuh perkembangan positif perdagangan dua hala yang mencecah USD18.59 bilion pada tahun 2025, sekali gus mengekalkan India sebagai rakan dagang terbesar Malaysia di Asia Selatan”, katanya.
Menurut Datuk Seri Anwar, kerjasama dalam bidang digital dan teknologi baharu juga terus menunjukkan perkembangan memberangsangkan menerusi penganjuran Mesyuarat Pertama Malaysia–India Digital Council (MIDC) serta MY–India AI Conclave di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Katanya, Malaysia akan terus memperkukuh hubungan baik ini demi manfaat bersama, kestabilan serantau serta kemakmuran yang lebih inklusif buat kedua-dua negara.