
LABUAN, 18 Mei – Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Wilayah Persekutuan merekodkan sebanyak 160 kes pemulihan dadah di Labuan setakat Mei tahun ini, melibatkan klien berusia 19 hingga 63 tahun, yang kini sedang mengikuti Rawatan dan Pemulihan Dalam Komuniti (RPDK).
- Penyalahgunaan dadah dipengaruhi faktor pekerjaan dan kedudukan geografi.
- Kedudukan sempadan dengan Filipina menyebabkan jenis dadah berbeza; 'ice' sintetik berbahaya dan boleh menyebabkan halusinasi.
- AADK melaksanakan program kesedaran kepada generasi muda dan menyediakan rawatan pemulihan institusi serta komuniti.
- Program JABD dianjur bersama Karnival Siswa Sihat dan WOPAD dengan kerjasama Jabatan Kesihatan di UMSKAL.
Pengarahnya, Tengku Hanizar Tengku Awang berkata, siasatan mendapati kes penyalahgunaan dadah di pulau itu didorong pelbagai faktor termasuk pekerjaan dan kedudukan geografi.
“Pengambilan dadah melibatkan pelbagai faktor, antaranya situasi Sabah bersempadan dengan Filipina dan sebagainya. Jadi, jenis dadah pun agak berbeza dengan semenanjung. Contohnya, penggunaan ‘ice’ yang cukup berbahaya kerana ia adalah dadah jenis sintetik dan boleh menyebabkan halusinasi,” katanya pada Jelajah Aspirasi Bebas Dadah (JABD) Peringkat Labuan di sini.
Beliau menambah, pihaknya sedang giat melaksanakan pelbagai program bagi memberi kesedaran bahaya dadah dalam kalangan generasi muda., selain AADK juga menyediakan rawatan dan pemulihan komprehensif melalui pendekatan pemulihan dalam institusi dan pemulihan dalam komuniti.
“Pihak kami berusaha untuk mewujudkan komuniti yang sihat seterusnya menyampaikan mesej bahawa dadah memberi kesan buruk kepada kesihatan dan fizikal. Ini penting bagi mengelak dan mencegah penglibatan terhadap bahan berbahaya tersebut.
Orang ramai juga dinasihatkan agar jangan malu atau takut untuk tampil mendapatkan rawatan dan bantuan dengan pihak AADK,” ujarnya lagi.
Program JABD peringkat Labuan telah dianjur bersama Karnival Siswa Sihat dan Hari Fizikal Sedunia (WOPAD) dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Labuan berlangsung di Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL).