Datuk Seri Dr. Wan Azizah serah 75 lembu korban bersempena Aidiladha

Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (dua, kanan) melakukan gimik penyerahan lembu korban pada Majlis Penyerahan Lembu Korban Parlimen Bandar Tun Razak di Masjid Saidina Othman Ibn Affan hari ini / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 18 Mei – Sebanyak 75 ekor lembu korban diagihkan di seluruh kawasan Parlimen Bandar Tun Razak bersempena sambutan Hari Raya Aidiladha tahun ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Datuk Seri Dr Wan Azizah merasmikan Majlis Serahan Lembu Korban di Masjid Saidina Othman Ibn Affan, Cheras.
  • Sumbangan melibatkan kerjasama masjid, surau, jawatankuasa pelaksana, komuniti setempat dan penyumbang korporat.
  • Program menekankan pengorbanan, keprihatinan dan perpaduan sebagai medium penyatuan hati masyarakat.
  • Pengagihan daging korban dibuat secara telus dan teratur khusus kepada asnaf serta fakir miskin.

Isteri Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, sumbangan itu melibatkan kerjasama pelbagai pihak termasuk masjid, surau dan komuniti setempat bagi membantu golongan memerlukan.

Menurut beliau, program berkenaan bukan sekadar melaksanakan ibadah korban, malah menjadi medium memperkukuh semangat pengorbanan, keprihatinan serta perpaduan dalam kalangan masyarakat.

Tambahnya, pengagihan daging korban akan dilaksanakan secara telus dan teratur, khususnya kepada golongan asnaf serta fakir miskin di kawasan tersebut.

“Alhamdulillah, rezeki untuk Bandar Tun Razak. Sebanyak 75 ekor lembu dapat diagihkan termasuk di Masjid Saidina Othman Ibn Affan. Program ini menghimpunkan kita semua untuk menyatukan hati dan terus memperkukuh perpaduan dalam masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Serahan Lembu Korban Peringkat Parlimen Bandar Tun Razak di Masjid Saidina Othman Ibn Affan, Cheras, hari ini.

Dalam pada itu, Datuk Seri Dr. Wan Azizah turut merakamkan penghargaan kepada pihak pengurusan masjid, surau, jawatankuasa pelaksana serta penyumbang korporat yang menjayakan program berkenaan.

Program tersebut diadakan sempena dengan sambutan Hari Raya Aidiladha bagi menyemarakkan syiar Islam serta memupuk semangat kebersamaan dalam komuniti setempat.

Selain itu, beliau turut mengadakan program Ziarah Kasih di Hospital Rehabilitasi Cheras, Jalan Yaacob Latif, bagi menyantuni pesakit serta petugas kesihatan bersempena Aidiladha.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.