
TANJUNG MALIM, 16 Mei- Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-Kanak Negara (NCDRC), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerima pengiktirafan khas daripada Amazing Malaysian Book of Records (AMBR) atas pencapaian Tadika Bitara UPSI yang mencatat sejarah sebagai prasekolah pertama di Malaysia diiktiraf Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa Bersatu (UNESCO).
- Pencapaian mencerminkan komitmen berterusan memperkasa pendidikan awal kanak-kanak berkualiti, holistik dan bertaraf antarabangsa.
- Pendekatan pendidikan memberi penekanan perkembangan menyeluruh: intelek, emosi, sosial, sahsiah dan nilai kemanusiaan sejak peringkat awal.
- Kejayaan mengukuhkan kedudukan UPSI dalam pendidikan awal kanak-kanak serta menjadi penanda aras kepada institusi pendidikan tempatan.
Pengiktirafan itu disampaikan Pengasas dan Pengarah Urusan AMBR, Prof. Datuk Er. Inv. Ts. Dr. Santharasekaran Subramaniam semasa lawatan rasmi beliau ke NCDRC UPSI.
Menurut NCDRC, pencapaian tersebut mencerminkan komitmen berterusan dalam memperkasa pendidikan awal kanak-kanak yang berkualiti, holistik dan bertaraf antarabangsa.
Pendekatan pendidikan yang dilaksanakan turut memberi penekanan kepada pembangunan menyeluruh kanak-kanak merangkumi aspek intelek, emosi, sosial, sahsiah serta nilai kemanusiaan sejak peringkat awal.
“Pencapaian ini membuktikan potensi besar pendidikan awal kanak-kanak di Malaysia untuk diangkat ke peringkat global,” menurut kenyataan NCDRC pada Jumaat.
Kejayaan itu turut mengukuhkan kedudukan UPSI dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak serta menjadi penanda aras kepada institusi pendidikan tempatan dalam usaha mencapai standard global.
Tahun lalu, Tadika Bitara di bawah seliaan NCDRC UPSI mencipta sejarah apabila menjadi prasekolah pertama di Malaysia menerima pengiktirafan Rangkaian Sekolah Bersekutu (ASPnet) UNESCO.
Keahlian ASPnet memberi peluang Tadika Bitara menjalin kerjasama antarabangsa melalui seminar, bengkel, projek bersama serta mengakses sumber pembelajaran eksklusif UNESCO.