Dua nelayan selamat selepas bot rosak di Perairan Mersing

Foto Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia

MERSING, 15 Mei – Dua nelayan tempatan berdepan detik cemas apabila bot gentian kaca dinaiki mereka mengalami kerosakan enjin ketika menangkap ikan di perairan timur laut Pulau Harimau.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mangsa diselamatkan hasil bantuan pantas komuniti maritim serta sebuah bot memancing berhampiran.
  • MRSC Johor Bahru menerima aduan sekitar 5.30 petang dan Bot PENGGALANG 43 digerakkan, tetapi mangsa sudah diselamatkan dan dibawa ke Jeti Maritim Zon Mersing.
  • Pengarah Maritim merakamkan penghargaan kepada komuniti maritim dan menggesa orang ramai segera melaporkan kecemasan di laut melalui talian 999.

Pengarah Maritim Zon Mersing, Komander Maritim Suhaizan Saadin berkata, kedua-dua mangsa, Shahizam Firhan Shah Mohamed, 46, dan Johari Zainow, 37, berjaya diselamatkan hasil bantuan pantas komuniti maritim serta sebuah bot memancing berhampiran.

Menurutnya, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru menerima aduan kira-kira pukul 5.30 petang khamis, sebelum Bot PENGGALANG 43 digerakkan ke lokasi.

“Bagaimanapun, mangsa telah lebih awal diselamatkan oleh bot memancing sebelum dipindahkan dan dibawa pulang ke Jeti Maritim Zon Mersing,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada komuniti maritim dan menggesa orang ramai segera melaporkan kecemasan di laut melalui talian 999 bagi tindakan pantas.