
KUALA LUMPUR, 14 Mei –Transaksi harta tanah Malaysia mencatat pertumbuhan sederhana pada suku pertama 2026, menyusut 8 peratus kepada 89,966 berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.
- Subsektor kediaman terus mendominasi pasaran, 58.8% transaksi; rumah RM300,000 ke bawah menyumbang lebih separuh transaksi kediaman.
- Unit siap dibina meningkat, terutamanya kediaman dan kedai, namun unit siap tidak terjual kekal tinggi terutama pangsapuri khidmat.
- Kerajaan menyokong pasaran melalui Ekonomi MADANI, peningkatan SJKP dan pengecualian duti setem bagi pembeli rumah pertama sehingga akhir 2027.
Ketua Pengarah Penilaian dan Perkhidmatan Harta, Abdul Razak Yusak berkata, nilai transaksi turut menyaksikan penurunan marginal sebanyak 0.6 peratus kepada RM51.09 bilion.
”Subsektor kediaman terus mendominasi keseluruhan aktiviti pasaran harta tanah sebanyak 58.8 peratus daripada keseluruhan bilangan transaksi dengan hampir 53,000 transaksi bernilai lebih RM22 bilion direkodkan.
”Kediaman berharga RM300,000 dan ke bawah kekal mendominasi pasaran dengan 27,209 bilangan transaksi direkodkan iaitu melebihi 50 peratus daripada jumlah transaksi kediaman,” jelasnya dalam siaran Pasaran Harta Suku Pertama 2026 oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) secara maya.
Jelasnya, walaupun trajektori mula perlahan, namun aktiviti pembinaan khususnya bagi projek siap dibina bagi harta tanah kediaman dan kedai terus kukuh dengan pertumbuhan positif.
Bilangan unit siap dibina bagi kategori kediaman meningkat lebih 30 peratus kepada 12,905 berbanding 9,329 unit pada suku sama 2025.
Peningkatan melebihi 100 peratus pula direkodkan bagi unit kedai serta kedai berstrata, namun sebaliknya bagi subsektor pangsapuri khidmat, iaitu sebanyak 1,888 unit siap direkodkan, turun lebih 40 peratus berbanding 2025.
Sementara itu, unit kediaman siap dibina tidak terjual merekodkan 32,801 unit dengan nilai RM 16.37 billion, meningkat 7.6 peratus dari segi bilangan dan turun 7.7 peratus dari segi nilai daripada suku sebelumnya.
Subsektor pangsapuri khidmat siap dibina tidak terjual meningkat kepada 19,263 unit bernilai RM16.52 bilion berbanding 18,752 unit bernilai RM15.42 bilion pada
suku keempat 2025.
”Hampir 60 peratus pangsapuri khidmat berharga lebih RM500 ribu hingga RM1 juta mendominasi keseluruhan unit siap tidak terjual, lebih 70 peratus daripadanya terdiri dari projek yang telah dilancarkan dalam tempoh 6 hingga 10 tahun,” jelasnya.
Bagi suku pertama 2026, Indeks Harga Rumah Malaysia (IHRM) mencatat pertumbuhan tahunan 1.7 peratus pada paras 235.2 mata dengan harga purata RM507,533 seunit.
Menurutnya, secara keseluruhan prestasi pasaran harta tanah pada suku pertama 2026 mencerminkan keadaan ekonomi semasa yang berhati-hati susulan ketidaktentuan di Asia Barat.
Jelasnya, sokongan penuh kerajaan melalui kerangka Ekonomi MADANI akan mengekalkan kestabilan pasaran bagi harta tanah dan trajektori pertumbuhan pasaran harta tanah dijangka kekal berdaya tahan.
Melalui Belanjawan 2026 langkah-langkah untuk menggalakkan pertumbuhan permintaan turut diperkenalkan termasuk peningkatan peruntukan Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) sehingga RM20 bilion bagi manfaat 80,000 pembeli rumah.
Sebagai tambahan, pengecualian duti setem penuh ke atas instrumen pemindahan dan perjanjian pinjaman untuk pembeli rumah pertama berharga sehingga RM500,000 dilanjutkan sehingga akhir 2027, khusus bagi menggalakkan pemilikan rumah pertama.
Selain itu, perkembangan positif dalam pembangunan infrastruktur strategik berperanan penting dalam memacu pembangunan berorientasikan transit (TOD), sekali gus menjadi pemangkin peningkatan ekonomi dan pasaran harta tanah negara.