Parlimen terima surat berkaitan kekosongan Ketua Pembangkang

Prosedur dilaksana selaras dengan amalan dan urusan biasa Parlimen

TEMERLOH, 13 Mei – Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dr.Johari Abdul memaklumkan pihak Parlimen telah menerima surat daripada blok pembangkang berhubung isu kekosongan jawatan Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Parlimen mengemukakan surat pemakluman kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.
  • Sehingga kini, tiada maklum balas diterima daripada Datuk Seri Hamzah mengenai perkara berkenaan.
  • Prosedur dilaksanakan selaras dengan amalan dan urusan biasa Parlimen.
  • Media laporkan perubahan kepimpinan blok pembangkang; Hamzah belum keluarkan kenyataan rasmi tentang statusnya.

Menurut beliau, susulan penerimaan surat tersebut, pihak Parlimen telah mengemukakan surat pemakluman kepada Ketua Pembangkang yang juga Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Bagaimanapun, sehingga kini pihaknya masih belum menerima sebarang maklum balas daripada Datuk Seri Hamzah berhubung perkara berkenaan.

Tan Sri Dr.Johari berkata, prosedur yang dilaksanakan adalah selaras dengan amalan dan urusan biasa Parlimen seperti yang dilakukan sebelum ini.

“Bersatu belum memberikan apa-apa jawapan, jadi kita tunggu dan lihat. Apa yang berlaku dalam Bersatu itu di luar bidang saya,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan berlaku perubahan kepimpinan dalam blok pembangkang yang dikaitkan dengan kedudukan Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat.

Setakat ini, Datuk Seri Hamzah yang juga Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung status kedudukannya sebagai Ketua Pembangkang.