
TAIPING, 13 Mei- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak menyita pelbagai barangan termasuk minyak diesel, dua buah kenderaan serta Fleet Card dalam Op Tiris 4.0 dan Op Jeriji di daerah ini, dengan nilai rampasan dianggarkan RM121,100, baru-baru ini.
- Aktiviti pemindahan minyak diesel dari lori treler ke tong jerry can dijalankan tanpa kebenaran sah.
- Seorang pemandu lori berusia 32 tahun dan seorang lelaki 67 tahun yang dipercayai pembeli ditahan di lokasi kejadian.
- Kedua-dua individu gagal mengemukakan kebenaran daripada Pengawal Bekalan Malaysia dan kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata hasil pemeriksaan mendapati aktiviti pemindahan minyak diesel dari sebuah lori treler ke dalam tong ‘jerry can’ dilakukan tanpa kebenaran sah.
Seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun yang merupakan pemandu lori dikesan sedang melakukan pemindahan diesel, manakala seorang lelaki berusia 67 tahun dipercayai pembeli turut berada di lokasi kejadian.
Kedua-dua individu terbabit gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran daripada Pengawal Bekalan Malaysia ketika pemeriksaan dijalankan.
Antara yang disita termasuk kira-kira 40 liter minyak diesel, sebuah lori treler, sebuah kereta, satu unit Fleet Card, hos, 13 tong ‘jerry can’ dan dokumen berkaitan.
Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana menjalankan urus niaga barang kawalan tanpa kebenaran bertulis.