
KUDAT, 9 Mei – Pos Dogoton di Pulau Banggi, Sabah merupakan antara pos keselamatan hadapan utama negara dalam mengekang ancaman pencerobohan, penyeludupan serta jenayah rentas sempadan di perairan utara Sabah.
- Kesiapsiagaan aset dan anggota mesti sentiasa pada tahap tertinggi untuk memastikan kedaulatan negara terpelihara.
- Keadaan kepulauan dan cuaca mencabar menuntut disiplin serta ketahanan mental tinggi bagi anggota bertugas di kawasan terpencil.
- Perdana Menteri meninjau kesiapsiagaan, menerima taklimat operasi dan menilai pengoperasian radar pemantauan sempadan.
- Penghargaan diberikan kepada Angkatan Tentera Malaysia; kerajaan memperkukuh kawalan melalui radar dan rondaan maritim.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pos keselamatan berkenaan memainkan peranan strategik dalam memperkukuh kawalan keselamatan perairan negara yang bersempadan dengan Filipina.
“Pos Dogoton adalah antara pos keselamatan hadapan bersempadanan dengan perairan Filipina yang memainkan peranan penting dalam menjaga kedaulatan dan keselamatan perairan negara di kawasan utara Sabah.
“Ini termasuk mengawal ancaman pencerobohan, penyeludupan serta aktiviti jenayah rentas sempadan,” menurutnya dalam satu hantaran di Facebook.
Datuk Seri Anwar menegaskan kesiapsiagaan aset dan anggota keselamatan di kawasan strategik termasuk Pulau Banggi perlu sentiasa berada pada tahap tertinggi bagi memastikan kedaulatan negara terus terpelihara.
Tambah beliau, kedudukan kepulauan serta keadaan cuaca yang mencabar menjadikan penugasan anggota keselamatan di kawasan terpencil memerlukan tahap disiplin dan ketahanan mental yang tinggi.
Terdahulu beliau meninjau tahap kesiapsiagaan keselamatan di pos berkenaan, setelah usai menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN di Filipina.
Dalam lawatan berkenaan, Perdana Menteri diberikan taklimat operasi oleh pasukan keselamatan selain meninjau pengoperasian radar pemantauan yang menjadi antara aset utama kawalan keselamatan di kawasan sempadan perairan negara.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bertugas mempertahankan kedaulatan negara di kawasan sempadan.
“Penghargaan tertinggi buat pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang ditugaskan menjaga kedaulatan tanah air di Pos Dogoton.
“Keteguhan, keberanian dan kesiapsiagaan pasukan dalam mempertahankan setiap inci perairan negara daripada sebarang ancaman adalah lambang pengorbanan yang memastikan rakyat terus hidup aman dan tenteram,” katanya.
Sabah khususnya kawasan pantai timur dan utara negeri itu sebelum ini sering menjadi laluan aktiviti rentas sempadan termasuk penyeludupan dan kemasukan pendatang tanpa izin berikutan kedudukannya yang berhampiran selatan Filipina.
Kerajaan sebelum ini turut memperkukuh kawalan keselamatan menerusi pelbagai operasi serta penggunaan aset pemantauan termasuk radar dan rondaan maritim bagi meningkatkan tahap keselamatan di perairan negara.