
SAUDARA PENGARANG
- Krisis nilai remaja: jati diri dan adab semakin terhakis, banyak perilaku merendahkan maruah.
- Dunia digital jadi guru tanpa wajah, maklumat tanpa tapisan menggantikan peranan ibu bapa dan guru.
- Ibu bapa perlu bertindak proaktif, bukan menunggu anak bertanya; bina komunikasi dan ruang selamat di rumah.
- Pendidikan seks sebagai pembimbing nilai: ajar maruah, batas pergaulan, dan tanamkan iman serta adab.
Dunia hari ini tidak lagi seperti dahulu. Perubahan berlaku dengan begitu pantas sehingga kadangkala kita sendiri tidak sempat menyesuaikan diri, apatah lagi untuk membimbing generasi yang sedang membesar dalam arus yang begitu deras. Teknologi berkembang tanpa henti, maklumat berada di hujung jari, dan batas antara yang baik dan buruk semakin kabur dalam kehidupan seharian.
Dalam keghairahan mengejar kemajuan, kita mungkin terlepas pandang satu perkara yang paling asas iaitu pembentukan jati diri dan adab dalam kalangan generasi muda. Isu remaja hari ini bukan lagi sekadar tentang kecemerlangan akademik atau masa depan kerjaya, tetapi lebih kepada krisis nilai yang semakin membimbangkan.
Rasa malu yang dahulunya menjadi benteng diri kini semakin menipis, adab yang menjadi identiti masyarakat timur semakin terhakis, dan sempadan pergaulan semakin longgar tanpa disedari. Persoalannya, di manakah silapnya?
Realiti yang Menyesakkan Jiwa
Dalam diam, kita mula mendengar kisah-kisah yang meresahkan hati. Di institusi pengajian tinggi, wujud cerita tentang remaja yang sanggup merendahkan maruah diri demi kesenangan sementara. Maruah diri tidak lagi dilihat sebagai suatu amanah, tetapi seakan-akan menjadi transaksi yang boleh ditawar-menawar.
Walaupun tidak adil untuk menghukum keseluruhan generasi, kewujudan realiti ini sudah cukup untuk mencetuskan kegusaran yang mendalam.
Namun, dalam kita merasa marah atau kecewa, kita perlu jujur melihat hakikat yang lebih besar, ini bukan semata-mata masalah individu, tetapi cerminan kepada persekitaran sosial yang kita bina bersama. Anak-anak membesar dalam dunia yang kita dahulu sediakan, dan setiap perubahan nilai yang berlaku adalah hasil daripada gabungan pelbagai faktor yang saling mempengaruhi.
Dunia Digital: Guru Tanpa Wajah
Jika dahulu ibu bapa dan guru menjadi sumber utama pendidikan tentang erti kehidupan, sebaliknya hari ini peranan itu telah banyak diambil alih oleh dunia digital. Telefon pintar, media sosial dan internet menjadi “guru” yang sentiasa tersedia, memberikan jawapan kepada setiap persoalan tanpa sempadan, tanpa tapisan dan tanpa jaminan kebenaran.
Anak-anak tidak lagi menunggu untuk bertanya kepada ibu bapa. Mereka malah mencari sendiri, melihat sendiri dan menilai sendiri apa yang betul dan salah. Malangnya, tidak semua yang mereka temui membawa kepada kebaikan. Dalam dunia tanpa sempadan ini, nilai boleh berubah hanya dengan satu klik sahaja.
Allah SWT telah mengingatkan:
“Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada api neraka…” (Surah At-Tahrim, 66:6)
Ayat ini mengingatkan bahawa tanggungjawab kita bukan sekadar menyediakan keperluan fizikal, tetapi juga melindungi iman dan akhlak anak-anak daripada pengaruh yang merosakkan.
Ibu Bapa di Takuk Lama?
Ramai dalam kalangan ibu bapa masih mendidik anak-anak dengan pendekatan lama iaitu dengan menunggu anak bertanya, barulah kita menjawab. Pendekatan ini mungkin sesuai pada zaman dahulu, tetapi dalam dunia hari ini, ia tidak lagi mencukupi. Anak-anak kini tidak perlu bertanya kerana mereka sudah mempunyai jawapan walaupun jawapan itu belum tentu benar.
Jika ruang komunikasi tidak berupaya dibina di dalam rumah, nescaya mereka akan mencarinya di luar. Namun tidak semua yang menanti di luar rumah itu adalah bimbingan yang baik.
Oleh itu ibu bapa perlu berani berubah. Kita tidak boleh lagi sekadar menjadi pemerhati, tetapi perlu menjadi pembimbing yang aktif dalam pembentukan nilai kehidupan anak-anak.
Pendidikan Seks : Bukan Mengajar, Tetapi Membimbing
Pendidikan seks sering disalah tafsir sebagai sesuatu yang memalukan atau tidak sesuai dibincangkan. Hakikatnya, ia bukan tentang mengajar perlakuan, tetapi membimbing anak-anak memahami diri, menjaga maruah dan menetapkan batas dalam pergaulan.
Dalam Islam, pendekatan ini telah lama wujud dengan jelas:
“Dan janganlah kamu menghampiri zina; sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang buruk.”
(Surah Al-Isra’, 17:32)
Larangan ini bukan sekadar menegah, tetapi mendidik manusia agar menjauhi segala jalan yang boleh membawa kepada kerosakan moral.
Ke Mana Hilangnya Malu?
Malu adalah benteng yang menjaga maruah manusia. Rasulullah SAW bersabda bahawa malu adalah sebahagian daripada iman. Namun, apabila malu semakin hilang, batas antara yang wajar dan yang tidak wajar juga mula lenyap.
Apa yang lebih membimbangkan ialah apabila perkara yang dahulu dianggap memalukan kini dilihat sebagai perkara biasa. Walaupun perubahan ini berlaku secara perlahan-lahan, tetapi kesannya sangat besar terhadap pembentukan jati diri generasi muda.
Cabaran Ibu Bapa Hari Ini
Menjadi ibu bapa pada hari ini bukanlah satu tugas yang mudah. Kita berhadapan dengan dilema yang berterusan antara memberi kebebasan dan menetapkan batas, antara mempercayai dan mengawal, antara melindungi dan membiarkan anak belajar daripada pengalaman.
Dunia di luar terlalu luas dan penuh cabaran. Setiap hari, anak-anak terdedah kepada pelbagai pengaruh yang tidak dapat kita kawal sepenuhnya. Dalam keadaan ini, ibu bapa sering tertanya-tanya sama ada usaha yang dilakukan sudah mencukupi.
Ibu Bapa kepada Generasi Akan Datang
Apabila kita melihat anak-anak membesar, kita bukan sahaja melihat mereka sebagai anak, tetapi sebagai pewaris kepada generasi seterusnya. Anak perempuan yang dibesarkan hari ini mungkin akan menjadi ibu kepada anak-anak pada masa hadapan. Nilai yang kita tanam hari ini akan menentukan bagaimana mereka membentuk generasi akan datang.
Persoalan yang timbul bukan lagi sekadar tentang hari ini, tetapi tentang masa hadapan: Adakah mereka akan mampu mendidik anak-anak mereka dalam dunia yang lebih mencabar daripada sekarang?
Perubahan dalam mendidik anak-anak tidak berlaku secara serta-merta, namun ia boleh dimulakan dengan langkah yang kecil tetapi konsisten.
Dalam dunia yang semakin terbuka ini, ibu bapa tidak lagi boleh menunggu anak-anak untuk bertanya sebelum memberikan penjelasan, sebaliknya perlu mengambil inisiatif untuk memulakan perbualan, khususnya berkaitan perubahan fizikal dan mental diri, batas pergaulan dan nilai kehidupan.
Pendekatan proaktif ini penting agar anak-anak tidak lagi mengharapkan jawapan daripada sumber yang tidak tepat atau mengelirukan.
Pada masa yang sama, ibu bapa perlu berusaha untuk menjadi ruang yang selamat kepada anak-anak. Mereka harus merasakan bahawa rumah adalah tempat untuk berkongsi dan mendapatkan bimbingan, bukan tempat untuk dihakimi.
Apabila anak-anak berani meluahkan persoalan atau kekeliruan, mereka sebenarnya sedang mencari arah dan panduan. Jika ruang ini tidak disediakan, mereka mungkin akan beralih kepada sumber lain yang belum tentu membawa kebaikan.
Pendekatan dalam mendidik anak-anak juga perlu berubah daripada sekadar melarang kepada membimbing. Dalam konteks penggunaan gajet dan media sosial, sekatan semata-mata tanpa penjelasan mampu menimbulkan penentangan.
Sebaliknya, ibu bapa perlu membantu anak-anak memahami risiko, membina kesedaran dan membimbing mereka membuat pilihan yang bijak. Lebih penting lagi, pendidikan anak-anak perlu berasaskan nilai.
Penanaman iman, adab dan rasa tanggungjawab harus menjadi teras dalam kehidupan seharian. Anak-anak belajar bukan sahaja melalui kata-kata, tetapi melalui contoh yang ditunjukkan oleh ibu bapa.
Akhirnya, dalam segala usaha yang dilakukan, doa tidak boleh diabaikan. Dalam dunia yang penuh cabaran ini, doa menjadi kekuatan yang menghubungkan usaha manusia dengan pertolongan Ilahi.
“Wahai Tuhanku, kurniakanlah kepadaku zuriat yang baik…” (Surah As-Saffat, 37:100)
Harapan yang Tidak Pernah Padam
Walaupun dunia semakin mencabar, harapan tidak pernah hilang. Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah yang suci dan tanggungjawab kita adalah untuk memelihara kesucian itu sebaik mungkin.
Kita mungkin tidak mampu mengubah seluruh dunia, tetapi kita mampu membentuk dunia kecil dalam keluarga kita sendiri.
Dari situlah akan lahir generasi yang bukan sahaja bijak, tetapi juga beradab, beriman dan mampu menghadapi cabaran zaman dengan penuh hikmah. Dan mungkin, di situlah bermulanya perubahan yang kita harapkan.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Dr Norziah binti Othman
Pensyarah Kanan
Jabatan Sains Kuantitatif
Fakulti Ekonomi, Perakaunan dan Pengurusan
Universiti Islam Selangor (UIS)