Permohonan tukar lesen memandu asing kini lebih mudah bagi warganegara – MOT

Foto BERNAMA


PUTRAJAYA, 7 Mei Kementerian Pengangkutan (MOT) menambah baik tatacara pertukaran lesen memandu asing kepada Lesen Memandu Malaysia (LMM) bagi warganegara Malaysia.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelaksanaan tertakluk kepada pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan.
  • Langkah ini bertujuan menjamin kompetensi pemandu serta memastikan pelesenan mematuhi peraturan berkuat kuasa.
  • Tatacara baharu mula dikuatkuasakan di semua pejabat JPJ negeri mulai 1 Jun; syarat, tatacara dan kadar fi tersedia di laman JPJ.

Jelas Menterinya, Anthony Loke, pelaksanaan tersebut tertakluk kepada pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Penambahbaikan ini dilaksanakan bagi menjamin kompetensi pemandu, selain memastikan urusan pelesenan pemandu di negara ini terus mematuhi peraturan yang berkuat kuasa serta menjamin tahap kompetensi pemanduan pemohon,” katanya.

Langkah itu juga bagi memudahcara permohonan pertukaran lesen memandu negara asing kepada LMM dengan mengambil kira keperluan semasa serta mobiliti rakyat Malaysia terutamanya dalam suasana ekonomi global dan domestik yang mencabar pada masa ini.

Sebelum ini, dasar sedia ada hanya membenarkan pertukaran lesen memandu negara asing kepada LMM bagi tiga kategori iaitu warganegara Malaysia yang memiliki lesen asing sebelum memegang LMM, peserta program Malaysia My Second Home (MM2H) dan pemohon di bawah kategori kor diplomatik.

Menurut Loke, pelaksanaan tatacara baharu berkenaan akan mula dilaksanakan di semua pejabat JPJ negeri bermula 1 Jun ini.

Orang ramai boleh mendapatkan syarat permohonan, tatacara lengkap dan kadar fi yang dikenakan menerusi laman rasmi JPJ Malaysia di https://www.jpj.gov.my/ mulai dari tarikh berkenaan.