ACLE: Vissel Kobe buka kempen dengan kemenangan

Foto REUTERS

PATHUM THANI, 17 September – Kelab Jepun Vissel Kobe, membuka kempen liga saingan Liga Juara-Juara Asia (ACLE) 2026/27 dengan mencatat kemenangan 2-1 ke atas Port FC di Thailand, hasil jaringan kemenangan oleh Yoshinori Muto pada minit ke-61, pada Rabu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ren Komatsu menjaringkan gol awal tetapi kemudian menjaringkan gol sendiri pada masa kecederaan babak pertama.
  • Jeonbuk Motors bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Kashiwa Reysol, Italo menjaringkan gol kemenangan.
  • ACLE diperluas daripada 24 kepada 32 pasukan; lapan terbaik setiap zon mara ke peringkat kalah mati.

Wakil Jepun itu terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi Ren Komatsu pada minit ke-10 sebelum pemain berkenaan secara tidak sengaja menjaringkan gol sendiri pada masa kecederaan babak pertama untuk membolehkan Port FC menyamakan kedudukan.

Komatsu menyudahkan hantaran lontaran jauh Diego dari jarak dekat, sekali gus meletakkan Vissel Kobe di depan.

Bagaimanapun, Komatsu menjadi punca kepada gol penyamaan Port FC apabila dia tertampan tandukan Issam Al-Sabhi ke gawang sendiri pada minit keempat masa tambahan babak pertama.

Vissel Kobe kembali menguasai permainan pada babak kedua dan Muto memastikan tiga mata buat skuad kendalian Michael Skibbe apabila dia menyudahkan hantaran Yuya Osako dengan melambungkan bola melepasi penjaga gol Port FC, Michael Falksgaard.

Kemenangan itu menyaksikan Vissel Kobe, yang mara separuh akhir musim lalu, memulakan kempen edisi terbaharu ACLE dengan tiga mata.

Dalam satu lagi aksi di zon Asia Timur, bekas juara Jeonbuk Motors bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Kashiwa Reysol 2-1 di Jeonju.

Kenshin Yuba meletakkan kelab Jepun itu di depan pada minit ke-30 menerusi percubaan individu sebelum Tiago Orobo menyamakan kedudukan tiga minit selepas rehat menerusi tandukan.

Italo kemudian melengkapkan kebangkitan Jeonbuk pada minit ke-69 apabila pemain Brazil itu melepasi dua pertahanan Kashiwa sebelum melepaskan rembatan rendah ke gawang yang dikawal oleh Ryosuke Kojima.

ACLE musim ini menyaksikan saingan liga diperluaskan daripada 24 kepada 32 pasukan, dengan lapan pasukan terbaik dari setiap zon Asia Timur dan Asia Barat mara ke pusingan kalah mati.

Perlawanan pusingan 16 akan berlangsung secara timbal balik pada Mac, manakala suku akhir, separuh akhir dan final dijadualkan berlangsung secara berpusat di Arab Saudi pada April dan Mei 2027. – REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.