
MEKAH, 6 Mei – Seramai 278 jemaah haji Malaysia daripada penerbangan KT051 selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz, Jeddah pada pukul 5.33 pagi waktu tempatan, hari ini.
- Jemaah mendarat di Lapangan Terbang Muscat, Oman susulan isu teknikal penerbangan.
- Semua jemaah dibawa ke penginapan Rehab Al Janadriyah dan diberi tempoh rehat sebelum meneruskan ibadah.
- Ketibaan disambut Ketua Rombongan Mohd Hisham Harun serta barisan petugas TH yang bersiap siaga.
- TH komited utamakan kebajikan jemaah; merakamkan penghargaan kepada Kedutaan Malaysia di Oman dan pihak penerbangan.
Lembaga Tabung Haji (TH) dalam satu kenyataan memaklumkan, kesemua jemaah sebelum itu mendarat di Lapangan Terbang Muscat, Oman pada 4 Mei lalu, susulan isu teknikal penerbangan.
Sejurus tiba di Jeddah, mereka dibawa ke penginapan di Rehab Al Janadriyah, di sini dan diberikan tempoh rehat sebelum meneruskan ibadah.
Ketibaan rombongan itu disambut Ketua Rombongan Haji Malaysia, Mohd Hisham Harun bersama barisan petugas TH yang telah bersiap siaga bagi memastikan kebajikan jemaah terpelihara.
Menurut Mohd Hisham, walaupun berdepan situasi yang tidak dapat dielakkan, semua jemaah berjaya dibawa ke Tanah Suci dengan selamat dan operasi haji berjalan seperti biasa.
“TH komited meletakkan kebajikan dan keselamatan jemaah sebagai keutamaan utama dalam setiap operasi.
“Kami juga merakamkan penghargaan kepada Kedutaan Malaysia di Oman serta pihak penerbangan yang membantu menguruskan kebajikan jemaah sepanjang situasi tersebut,” katanya.
Kesemua jemaah kini dijadualkan memulakan ibadah umrah pertama selepas tempoh rehat.