Jualan Rahmah MADANI diperluas ke 30,000 lokasi DUN – PM

Program Jualan Rahmah MADANI/RTM

PUTRAJAYA, 5 Mei- Kerajaan akan terus memperhebat pelaksanaan Program Jualan Rahmah MADANI dengan sasaran penganjuran di 30,000 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

RINGKASAN BERITA AI
  • Program terbukti menurunkan harga barangan keperluan, sekali gus mengurangkan tekanan kos sara hidup rakyat.
  • Harga merekodkan penurunan antara lima hingga 30 peratus bergantung jenis barangan dan lokasi pelaksanaan.
  • Kerajaan beri keutamaan kepada peniaga kecil, perluasan ke kawasan desa dan pelaksanaan berkala supaya manfaat dinikmati luas.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata program anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) itu terbukti berkesan dalam menawarkan barangan keperluan pada harga lebih rendah, sekali gus mengurangkan tekanan kos sara hidup rakyat.

Beliau berkata harga barangan menerusi program berkenaan mencatatkan penurunan antara lima hingga 30 peratus bergantung kepada jenis barangan dan lokasi pelaksanaan.

“Bagi tahun 2026 ini, kerajaan telah mengumumkan pelaksanaan 30,000 Program Jualan Rahmah MADANI, sekali gus diperluaskan ke semua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN). Program itu juga akan dilaksanakan sekurang-kurangnya sekali setiap minggu.

“Kerajaan turut memberi tumpuan supaya Program Jualan Rahmah MADANI tidak hanya diadakan di kawasan pinggir bandar, sebaliknya diperluaskan ke beberapa kawasan desa dan kampung terpilih,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Taklimat Harian Krisis Bekalan Global, di sini, hari ini.

Datuk Seri Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata pelaksanaan program itu turut memberi keutamaan kepada penyertaan peniaga kecil bagi memastikan manfaat dapat dinikmati secara lebih menyeluruh.

Menurut beliau, program tersebut tidak wajar didominasi syarikat besar semata-mata, sebaliknya membuka ruang kepada peniaga kecil untuk menawarkan barangan pada harga lebih berpatutan.