
SEREMBAN, 4 Mei – Hujan lebat melebihi 60 milimeter pada petang tadi menyebabkan enam buah rumah di Kampung Gadong SC, Labu, terjejas akibat banjir kilat.
- Hujan tertumpu di Sendayan dengan intensiti luar biasa menyebabkan limpahan Anak Sungai Gadong.
- Sungai berkapasiti kecil, berliku dan kawasan rumah di zon rendah mengakibatkan aliran berlebihan melimpah tebing.
- JPS akan lakukan pengorekan segera dan merancang projek jangka panjang termasuk pengambilan tanah serta mohon peruntukan negeri atau Persekutuan.
Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Ir. Ts. Abd Hakim Hamzah berkata, hujan berkenaan tertumpu di kawasan Sendayan turun dengan intensiti luar biasa dalam tempoh singkat hingga menjejaskan beberapa rumah di kampung tersebut.
“Bagi isu banjir petang ini di Kampung Gadong SC, hujan lebat melebihi 60 milimeter direkodkan, yang dikategorikan sebagai sangat lebat. Kampung ini mempunyai anak Sungai Gadong yang berkapasiti kecil, menyebabkan ia tidak mampu menampung aliran air.
“Tambahan pula, kawasan rumah yang terjejas terletak di kawasan rendah. Apabila sungai tidak dapat menampung jumlah air, ia melimpah ke tebing, ditambah pula dengan keadaan sungai yang berliku.
“Bagi jangka masa pendek, kita akan melaksanakan kerja pengorekan segera seperti yang dilakukan setiap tahun. Pada masa sama, kita merancang untuk melaksanakan projek jangka panjang, sama ada melalui peruntukan kerajaan negeri atau Persekutuan, termasuk memohon pengambilan tanah bagi tujuan membesarkan sungai tersebut kerana ia melalui tanah persendirian. Buat masa ini, kita akan memberi tumpuan kepada langkah penambahbaikan segera,” katanya ketika dihubungi RTM.
Dalam kejadian kira-kira 3.00 petang itu, kawasan berkenaan menyaksikan paras air naik antara 0.1 hingga 0.2 meter, melibatkan kawasan seluas 0.1 hektar.
Menurut JPS daerah Seremban, hujan dengan intensiti 63.5 milimeter sejam yang direkodkan di Stesen Sendayan menjadi antara faktor utama kejadian.
Selain itu, limpahan Anak Sungai Gadong yang tidak mampu menampung jumlah air dalam masa singkat turut menyumbang kepada kejadian berkenaan.