
SAUDARA PENGARANG
- Transformasi amalan tradisional kepada terapi berstruktur, profesional dan berasaskan sains.
- Integrasi teknik tradisional dengan pengetahuan anatomi, fisiologi dan alat ergonomik meningkatkan keselamatan dan keberkesanan.
- Penyeragaman melalui SOP, pensijilan, audit dan Akta 775 meningkatkan keyakinan pengguna.
- Penyelidikan klinikal di institusi seperti USM membina bukti untuk pengiktirafan antarabangsa.
Urutan Melayu sudah sekian lama menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat tempatan. Diamalkan turun-temurun, ia bukan sekadar kaedah mengurut untuk melegakan lenguh badan, tetapi satu pendekatan kesihatan menyeluruh yang menitikberatkan keseimbangan tubuh, kelancaran peredaran darah serta kesejahteraan fizikal dan emosi.
Namun, dalam landskap kesihatan moden hari ini, masyarakat semakin menuntut rawatan yang bukan sahaja berkesan, tetapi juga selamat, diyakini dan disokong bukti saintifik. Justeru, urutan Melayu kini sedang melalui fasa transformasi penting daripada amalan tradisional kepada pendekatan terapi yang lebih tersusun, profesional dan berasaskan sains.
Perubahan ini penting agar warisan perubatan Melayu terus relevan dalam dunia moden, malah mampu berdiri seiring dengan terapi manual antarabangsa yang telah mendapat tempat dalam sistem kesihatan global.
Ilmu Tradisi Bertemu Sains Moden
Antara perkembangan paling ketara ialah usaha menggabungkan teknik tradisional dengan pengetahuan moden mengenai anatomi dan fisiologi tubuh manusia. Dengan pemahaman yang lebih tepat terhadap struktur otot, sendi, saraf dan sistem peredaran darah, teknik urutan dapat dilakukan dengan lebih selamat dan berkesan.
Ini bermakna urutan bukan lagi dilakukan secara andaian semata-mata, tetapi berdasarkan kefahaman saintifik tentang bagaimana tubuh memberi respons terhadap tekanan, regangan dan sentuhan terapeutik.
Penggunaan alat bantuan ergonomik serta latihan yang lebih sistematik turut membantu meningkatkan mutu rawatan, di samping mengurangkan risiko kecederaan kepada pesakit dan pengamal.
Kawalan Mutu Tingkat Keyakinan
Dalam mana-mana bidang rawatan, kepercayaan masyarakat bergantung pada mutu dan keselamatan. Begitu juga dengan urutan Melayu. Justeru, aspek penyeragaman kini diberi perhatian serius melalui pembangunan prosedur operasi standard (SOP), pemantauan penggunaan produk seperti minyak urut, audit amalan klinikal serta sistem pensijilan pengamal.
Langkah ini penting bagi memastikan rawatan yang diterima pengguna adalah konsisten, selamat dan menepati piawaian tertentu.
Di Malaysia, bidang perubatan tradisional dan komplementari turut dikawal selia melalui Akta Perubatan Tradisional dan Komplementari 2016 (Akta 775), yang menetapkan keperluan pendaftaran dan pengiktirafan pengamal. Ini menunjukkan komitmen negara dalam melindungi pengguna serta memastikan hanya individu berkelayakan dibenarkan menjalankan rawatan.
Imej sesuatu bidang rawatan banyak bergantung pada tahap profesionalisme pengamalnya. Hari ini, pengamal urutan Melayu bukan sahaja perlu mahir dari segi teknik, tetapi juga memahami etika perawatan, komunikasi dengan pesakit, keselamatan rawatan dan tanggungjawab profesional.
Penyertaan dalam kursus, latihan berkala dan program pembangunan profesional berterusan (CPD) mampu meningkatkan kompetensi pengamal, sekali gus mengangkat martabat bidang ini ke tahap lebih tinggi. Apabila pengamal tampil profesional, masyarakat akan lebih yakin untuk mendapatkan rawatan.
Satu perkembangan yang sangat signifikan ialah peningkatan penglibatan urutan Melayu dalam penyelidikan saintifik. Jika dahulu keberkesanannya banyak disandarkan kepada pengalaman tradisi, kini semakin banyak usaha dijalankan untuk menilai manfaatnya melalui data empirikal dan kajian klinikal.
Kajian awal menunjukkan terapi urutan berpotensi membantu mengurangkan kesakitan otot, meningkatkan kelancaran peredaran darah, mengurangkan tekanan emosi serta menambah baik kesejahteraan psikologi.
Di Universiti Sains Malaysia, khususnya melalui Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAAB), usaha telah dijalankan menerusi Unit Perubatan Integratif untuk membangunkan protokol penyelidikan yang lebih sistematik.
Penyelidikan itu, termasuk kajian klinikal dan garis panduan amalan bagi pelbagai keadaan seperti sakit lutut, sakit pinggang, masalah kesuburan lelaki serta gangguan muskuloskeletal lain.
Pendekatan ini membolehkan urutan Melayu dinilai secara objektif dan diterima dalam kerangka perubatan berasaskan bukti.
Potensi ke Pentas Global
Di peringkat antarabangsa, terapi manual seperti Thai Massage dan Shiatsu telah lama mendapat pengiktirafan dunia. Urutan Melayu juga mempunyai potensi besar untuk berada pada tahap yang sama, asalkan usaha pengukuhan dari sudut penyelidikan, latihan, pensijilan dan penyeragaman diteruskan secara konsisten.
Ini bukan sekadar soal rawatan, tetapi juga soal memartabatkan warisan bangsa agar dihormati di persada antarabangsa. Transformasi urutan Melayu bukan bermaksud meninggalkan akar budaya. Sebaliknya, ia adalah usaha memperkukuh warisan tradisi melalui sains, teknologi dan profesionalisme.
Jika kerajaan, institusi akademik dan pengamal dapat bergerak seiring, Malaysia berpotensi membangunkan sistem urutan Melayu yang berstandard tinggi, selamat dan diyakini.
Akhirnya, urutan Melayu tidak lagi dilihat sekadar rawatan tradisional di pinggir masyarakat, tetapi sebagai terapi bernilai tinggi yang mampu menyumbang secara signifikan kepada sistem kesihatan moden negara, malah berpotensi menjadi warisan kesihatan tempatan yang dihormati dunia.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Profesor Madya Dr. Eshaifol Azam Omar
Ketua Unit Perubatan Integratif
Kompleks Penyelidikan Klinikal
Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAAB)
Universiti Sains Malaysia (USM)