Pertanian lestari komuniti perkukuh bekalan makanan, kurangkan kos sara hidup

Dr Shamshina Mohamad Hanifa

KUALA LUMPUR, 3 Mei – Pertanian lestari berasaskan komuniti seperti akuaponik dan hidroponik mampu memperkukuh kelestarian serta keselamatan makanan, di samping membantu mengurangkan kos sara hidup.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sistem akuaponik dan hidroponik menjamin bekalan makanan berterusan walaupun berlaku gangguan rantaian bekalan.
  • Pelaksanaan di kawasan bandar boleh dilakukan tanpa tanah, menggunakan pertanian menegak untuk memaksimumkan ruang terhad.
  • Penglibatan komuniti dan sokongan pihak berkepentingan penting untuk memperluas pelaksanaan dan meningkatkan daya tahan komuniti.

Pensyarah Undang-Undang, Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Shamshina Mohamad Hanifa, berkata sistem berkenaan berupaya menjamin bekalan makanan yang berterusan walaupun berdepan gangguan rantaian bekalan.

“Pertanian lestari merupakan penyelesaian kepada kelestarian dan keselamatan makanan kerana sistem seperti akuaponik mampu menjamin bekalan sayuran yang berterusan serta mengurangkan kebergantungan kepada sumber luar.

“Sekiranya berlaku gangguan rantaian bekalan seperti masalah pengangkutan atau krisis di kawasan pengeluaran utama, komuniti yang menghasilkan sendiri makanan tidak akan berdepan kekurangan, sekali gus dapat menjimatkan kos dan memastikan bekalan sentiasa mencukupi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menjadi tetamu Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media.

Menurutnya, kekangan ruang bukan halangan kepada pelaksanaan pertanian lestari di kawasan bandar kerana sistem berkenaan tidak memerlukan tanah dan boleh diusahakan di kawasan terhad.

“Bagi komuniti bandar yang berdepan kekangan ruang, sistem akuaponik dan hidroponik sebenarnya boleh dilaksanakan di kawasan terhad tanpa memerlukan tanah.

“Persepsi bahawa pertanian memerlukan ruang luas perlu diperbetulkan kerana kaedah seperti pertanian menegak membolehkan tanaman diusahakan secara berlapis, sekali gus memaksimumkan penggunaan ruang yang sempit,” jelasnya.

Penglibatan aktif masyarakat serta sokongan berterusan pelbagai pihak berkepentingan amat penting bagi memperluas pelaksanaan pertanian lestari di peringkat komuniti.

Usaha itu bukan sahaja menjamin bekalan makanan berterusan, malah meningkatkan daya tahan komuniti dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi dan krisis bekalan pada masa hadapan.