
PUTRAJAYA, 2 Mei – Dua lelaki warga asing ditahan dipercayai terlibat dalam aktiviti mengemis di Terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), awal pagi Jumaat.
- Suspek dikenal pasti melalui video tular di media sosial yang memaparkan kegiatan mereka.
- Suspek adalah warga Tajikistan dan Palestin.
- Kedua-duanya tidak memiliki pasport atau dokumen perjalanan yang sah.
- Kes disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Ketua Polis Daerah KLIA, ACP M. Ravi berkata kedua-dua suspek berusia 28 dan 45 tahun itu dikenal pasti melalui video tular di media sosial yang memaparkan kegiatan mereka di kawasan berkenaan.
Menurut beliau, hasil siasatan mendapati suspek masing-masing warga Tajikistan dan Palestin tidak memiliki pasport atau dokumen perjalanan yang sah.
“Modus operandi suspek adalah dengan menghampiri pengunjung di lapangan terbang bagi meminta wang dengan meraih simpati,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.