Tunku Mahkota Ismail titah usaha sifar miskin tegar di Johor diperkasa

Tunku Mahkota Ismail bertitah sempena Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Persidangan Kelima Dewan Negeri Johor ke-15 

JOHOR BAHRU, 30 April – Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail bertitah supaya usaha mensifarkan miskin tegar di negeri itu terus diperkasa susulan kejayaan membantu lebih 4,600 ketua isi rumah keluar daripada status berkenaan tahun lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Merakamkan penghargaan kepada kerajaan negeri atas komitmen membela nasib rakyat, khususnya golongan memerlukan.
  • Menggesa inisiatif mensasarkan sifar kepada kira-kira 6,500 golongan miskin diteruskan serta diperkasa.
  • Menegaskan usaha merealisasikan 100,000 unit Rumah Mampu Milik Johor menjelang 2030.
  • Melaporkan kemajuan RMMJ: kira-kira 21,000 unit siap dibina, 16,000 daripadanya telah didiami.

Baginda bertitah, kejayaan tersebut membuktikan keberkesanan inisiatif kerajaan negeri dalam membela nasib rakyat, khususnya golongan memerlukan.

“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada kerajaan negeri atas komitmen dalam membela nasib rakyat khususnya golongan memerlukan.

“Namun usaha ini tidak boleh berhenti di sini. Saya menggesa agar inisiatif ini diteruskan serta diperkasa untuk mensasarkan sifar kepada keseluruhan kira-kira 6,500 golongan miskin di negeri ini agar tiada siapa yang ketinggalan,” titah baginda.

Tunku Mahkota Ismail turut bertitah agar usaha menyediakan 100,000 unit Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) dapat direalisasikan menjelang 2030.

Ketika ini, kira-kira 21,000 unit RMMJ siap dibina dengan 16,000 unit daripadanya telah didiami.

Baginda bertitah demikian sempena Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Persidangan Kelima Dewan Negeri Johor ke-15 di Kota Iskandar, hari ini.