Trump tolak cadangan Iran buka Selat Hormuz hingga isu nuklear selesai

Donald Trump menolak cadangan Tehran untuk membuka semula Selat Hormuz, sebaliknya memilih untuk mengekalkan sekatan tentera laut. /REUTERS

ISTANBUL, 30 April – Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump menolak cadangan Tehran untuk membuka semula Selat Hormuz, sebaliknya memilih untuk mengekalkan sekatan tentera laut bagi menekan Tehran mengenai program nuklearnya, lapor Anadolu Ajansi, memetik Axios pada Rabu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Trump berkata sekatan lebih berkesan daripada pengeboman dan akan memberi tekanan lebih besar kepada Iran.
  • Trump menangguhkan perbincangan nuklear, menegaskan matlamat utama ialah menghalang Iran memperoleh senjata nuklear.
  • Komando Pusat AS menyediakan rancangan serangan udara 'pendek dan kuat' jika Iran tidak mengalah, walau Trump belum benarkan tindakan kinetik.

“Sekatan itu lebih berkesan daripada pengeboman…” kata Trump kepada saluran berita itu. “Ia akan menjadi lebih teruk bagi Iran.”

Beliau mendakwa Iran mahukan persetujuan untuk menarik balik sekatan AS di laluan air strategik itu.

Presiden menolak tawaran Iran untuk membuka sekatan terhadap laluan air penting itu dan menangguhkan perbincangan nuklear, menegaskan bahawa matlamat utamanya kekal menghalang Tehran daripada mendapatkan senjata nuklear.

Trump mendakwa ketidakupayaan untuk mengeksport minyak telah menyebabkan kononnya infrastruktur Iran “hampir berkecai.”

Walaupun Trump melihat sekatan itu sebagai kelebihan yang kukuh, sumber memberitahu Axios bahawa Komando Pusat AS (CENTCOM) telah membangunkan rancangan untuk gelombang serangan udara “pendek dan kuat” bagi memecahkan kebuntuan diplomatik jika Iran tidak mengalah.

Trump masih belum membenarkan tindakan kinetik atau serangan fizikal, kata sumber. – BERNAMA-ANADOLU