Perkasa ekosistem kondusif, lahirkan lebih ramai pemimpin wanita – Dr. Wan Azizah

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 29 April– Persekitaran yang menyokong dan memperkasa wanita perlu terus diperkukuh bagi melahirkan lebih ramai pemimpin yang berdaya tahan dalam pelbagai sektor.

RINGKASAN BERITA AI
  • Cabaran mengimbangi kerjaya, keluarga dan jangkaan masyarakat kekal rintangan utama bagi wanita.
  • Ketahanan dan keberanian dipupuk sejak era MGC kekal relevan sebagai asas pembentukan jati diri wanita.
  • Buku MGC mendokumentasi sejarah, menunjukkan pendidikan berasrama memacu mobiliti sosial, kepimpinan dan penyertaan wanita dalam pembangunan negara.

Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, walaupun peluang kini lebih meluas, cabaran mengimbangi kerjaya, keluarga dan jangkaan masyarakat tetap menjadi rintangan utama.

“Hari ini, peluang untuk wanita di Malaysia telah berkembang dengan ketara. Namun, masih ada cabaran dalam mengimbangi tanggungjawab profesional, peranan dalam keluarga dan jangkaan masyarakat,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran buku The Malay Girls’ College, November 1947 – March 1962: A Pioneering Story, di sini, hari ini.

Beliau menegaskan nilai ketahanan dan keberanian yang dipupuk sejak zaman perintis Malay Girls’ College (MGC) kekal relevan sebagai asas pembentukan jati diri wanita masa kini.

Penubuhan MGC pada 1947 merupakan mercu tanda awal perluasan akses pendidikan dan kepimpinan buat anak perempuan Melayu.

Sementara itu, buku “The Malay Girls’ College, November 1947 – March 1962: A Pioneering Story” setebal 332 halaman merakam sejarah awal kolej berkenaan melalui pengalaman langsung bekas pelajarnya, sekali gus menghidupkan semula naratif generasi perintis wanita Melayu terdidik.

Penerbitan tersebut menghimpunkan kisah alumni yang memperlihatkan bagaimana pendidikan berasrama menjadi pemangkin mobiliti sosial, pembentukan kepimpinan serta keyakinan diri, seterusnya membuka ruang lebih luas kepada penyertaan wanita dalam pembangunan negara.

Karya itu turut mendokumentasikan sumbangan graduan dalam pelbagai sektor dan merungkai sejarah awal perbincangan pendidikan wanita dalam Persidangan Raja-Raja Melayu pada 1939.