
SHAH ALAM, 29 April– Kerajaan Negeri Selangor merangka pelbagai strategi bagi membantu 45,993 usahawan wanita berdaftar di negeri ini berdepan kesan krisis Asia Barat.
- Pendigitalan pintar melalui penguasaan kecerdasan buatan untuk meningkatkan kapasiti operasi dan kecekapan kos perniagaan wanita.
- Penilaian impak berkala melalui 'rapid needs assessment' dan peralihan kepada ekonomi mampan bagi meningkatkan ketahanan perniagaan wanita.
- Wujudkan portal usahawan berpusat, amalan kerja mesra keluarga dan kerjasama rentas agensi untuk mudahkan akses bantuan dan inovasi.
Exco Pembangunan Wanita negeri, Anfaal Saari berkata krisis geopolitik itu berada di luar kawalan, justeru peniaga wanita perlu bersedia dengan ilmu dan pengetahuan bagi menghadapi cabaran semasa.
Katanya, lima resolusi dicapai menerusi perbincangan meja bulat kedua (RTD) bertemakan “Krisis Asia Barat: Impak Terhadap Usahawan dan Pemerkasaan Ekonomi Wanita” di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini.
“Antaranya termasuk pendigitalan pintar melalui penguasaan kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan kapasiti operasi serta kecekapan kos perniagaan wanita.
“Penilaian impak secara berkala melalui ‘rapid needs assessment’ juga perlu dilaksanakan bagi memantau kesan krisis secara langsung.
“Resolusi turut menekankan peralihan daripada ekonomi subsidi kepada ekonomi mampan dan berdaya tahan, dengan fokus kepada pemantapan kapasiti serta meningkatkan kemampanan perniagaan yang diterajui wanita,” katanya dalam sidang media selepas Sidang Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.
Antara resolusi lain ialah pewujudan portal usahawan berpusat sebagai pusat data dan akses maklumat sehenti bagi menyelaras bantuan serta mengurangkan birokrasi.
Amalan kerja mesra keluarga juga diperkasa termasuk dasar kerja fleksibel dan sokongan penjagaan keluarga bagi meningkatkan penglibatan wanita dalam ekonomi.
Perbincangan itu turut menyentuh cabaran usahawan wanita termasuk akses pembiayaan, pasaran bernilai tinggi dan jurang digital.
Kerjasama rentas agensi dalam latihan, pembiayaan dan inovasi perlu diperkukuh bagi memastikan daya tahan ekonomi yang mampan.
Cadangan dikemukakan akan dijadikan rujukan kerajaan negeri dalam merangka dasar lebih komprehensif dan berimpak tinggi khususnya bagi memperkasa keusahawanan wanita dan belia.