
KUALA LUMPUR, 29 April – Industri semikonduktor negara terus mengukuhkan kedudukan apabila SkyeChip Bhd melancarkan prospektus tawaran awam permulaan (IPO) sempena penyenaraian pereka litar bersepadu (IC) di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 20 Mei ini.
- Kerajaan menyokong pertumbuhan; SkyeChip dijangka memperkukuh kedudukan Malaysia dalam rantaian nilai semikonduktor global.
- Hasil IPO akan dilaburkan dalam R&D, pengembangan IP, bakat bertaraf dunia dan pembangunan generasi baru produk silikon.
- Selepas penyenaraian, fokus pada penguatan aktiviti R&D, pembangunan tenaga kerja mahir dan perluasan pasaran global.
Langkah itu menandakan fasa baharu pertumbuhan syarikat reka bentuk cip tempatan, yang kini bergerak ke pasaran awam dalam usaha memperluas pembangunan teknologi bernilai tinggi.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Sim Tze Tzin berkata, Malaysia kini berada pada landasan tepat untuk memperkuat kedudukan dalam rantaian nilai semikonduktor global, khususnya dalam bidang reka bentuk cip dan teknologi berasaskan inovasi.
“Seiring langkah anda memulakan fasa baharu di Bursa Malaysia, kerajaan akan terus menjadi rakan dalam pertumbuhan.
“Kami berharap SkyeChip akan terus melangkah ke tahap lebih tinggi dan menjadikan Malaysia sebagai kuasa besar semikonduktor global,” katanya pada pelancaran prospektus SkyeChip di ibu negara hari ini.
Malaysia perlu bergerak daripada aktiviti pemasangan kepada inovasi, penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta pembangunan harta intelek (IP), bagi memastikan Malaysia kekal berdaya saing di peringkat global.
“Kita memerlukan syarikat seperti SkyeChip yang berkompleksiti tinggi, inovatif, menjalankan R&D, mempunyai IP, dan berasaskan teknologi. Inilah yang diperlukan dalam pasaran saham Malaysia.
“Hari ini menandakan permulaan SkyeChip serta permulaan perjalanan teknologi kami dalam pasaran saham Malaysia,” katanya lagi.
Menurut SkyeChip, tawaran awam permulaan (IPO) melibatkan terbitan 400 juta saham biasa baharu pada harga 88 sen sesaham.
Penyenaraian syarikat yang berpangkalan di Pulau Pinang itu menyasarkan kutipan kira-kira RM352 juta turut mencerminkan keupayaan Malaysia melahirkan syarikat teknologi yang mampu bersaing di peringkat global, khususnya dalam sektor semikonduktor hadapan.
Ketua Pegawai Eksekutif SkyeChip, Datuk Fong Swee Kiang berkata, syarikat menyasarkan untuk memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab utama reka bentuk pereka litar bersepadu (IC) di rantau ini, selaras aspirasi negara dalam ekosistem semikonduktor global.
“Dengan dana IPO ini, kami akan melabur dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan bakat bertaraf dunia, memperluas portfolio IP serta membangunkan generasi baharu produk silikon,” katanya.
Selepas penyenaraian, syarikat akan memberi tumpuan kepada pengukuhan aktiviti R&D, pembangunan tenaga kerja mahir serta perluasan pasaran global melalui teknologi cip generasi baharu.