
KUCHING, 23 Ogos – Semua sekolah rendah dan menengah di bawah seliaan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak yang ditutup susulan jerebu sebelum ini akan dibuka semula esok.
- Keputusan dibuat selepas mengambil kira bacaan IPU di bawah 200 setakat pukul 10 pagi.
- Pembukaan semula tidak melibatkan aktiviti luar bilik darjah dan murid dinasihatkan memakai penutup hidung.
- Garis panduan KPM: hentikan aktiviti luar jika IPU melebihi 100; tutup sekolah jika IPU melebihi 200; jika melebihi 500, guru tidak perlu hadir.
Ia melibatkan sekolah di bawah10 Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) termasuk Kuching, Padawan, Bau, Lundu, Samarahan, Simunjan, Serian, Sri Aman, Lubok Antu dan Betong.
Pengarah JPN Sarawak, Omar Mahli berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang berada di bawah 200 setakat 10 pagi tadi.
“Sebarang perubahan atau maklumat terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
“Kebajikan, kesihatan dan keselamatan murid terus menjadi keutamaan, khususnya ketika berdepan cuaca panas atau keadaan luar jangka,” katanya dalam satu kenyataan.
Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara (APIMS) Jabatan Alam Sekitar (JAS) menunjukkan, Kuching merekodkan IPU tidak sihat, dengan bacaan 181, setakat pukul 10 pagi.
Tiga lagi daerah di Sarawak turut mencatat IPU kategori sama, termasuk IPD Serian (192), Sri Aman (176) dan Samarahan (174).
Terdahulu, ketika dihubungi RTM, Omar memaklumkan, pembukaan semula sekolah di semua daerah berkenaan tidak akan melibatkan aktiviti luar bilik darjah.
Murid juga dinasihatkan memakai penutup hidung.
Semua PPD dan institusi pendidikan turut diingatkan supaya memastikan bekalan air minuman bersih mencukupi.
Langkah itu selari garis panduan berhubung pengurusan sekolah ketika fenomena jerebu yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan (KPM).
Garis panduan sama turut menetapkan sekolah perlu menghentikan semua aktiviti luar bilik darjah melibatkan murid sekiranya bacaan IPU melebihi 100.
Jika bacaan IPU melebihi 200, semua sekolah dalam kawasan atau daerah berkenaan hendaklah ditutup serta-merta, manakala sekiranya bacaan melebihi 500, guru dan kakitangan tidak perlu hadir ke sekolah.