Malaysia terus dukung diplomasi, rundingan dalam penyelesaian konflik

Foto Facebook Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail

KUALA LUMPUR, 23 Ogos – Malaysia terus mendukung pendekatan diplomasi dan penyelesaian konflik melalui rundingan, selaras dengan komitmen negara untuk terus menyumbang ke arah keamanan, kestabilan dan kesejahteraan serantau serta antarabangsa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pertemuan Saifuddin dengan Ketua Staf Tentera Darat Pakistan di General Headquarters Rawalpindi semasa lawatan rasmi.
  • Perbincangan menekankan peranan Pakistan memudah cara rundingan antara Amerika Syarikat dan Iran berkaitan krisis Selat Hormuz.
  • Pertukaran pengalaman: Pakistan tentang rundingan AS-Iran, Malaysia tentang mediasi antara Thailand dan Kemboja menuju gencatan senjata.
  • Diplomasi, dialog dan pembinaan keyakinan dianggap asas paling berkesan meredakan ketegangan serta menyokong penyelesaian aman.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menerusi hantaran Facebook memaklumkan, perkara itu antara yang dibincangkan dalam pertemuannya dengan Ketua Staf Tentera Darat merangkap Ketua Angkatan Pertahanan Pakistan Field Marshal Syed Asim Munir di General Headquarters, Rawalpindi bersempena dengan lawatan kerja rasmi beliau ke negara itu.

Pertemuan itu disifatkan penting dengan mengambil kira peranan penting Pakistan dalam memudah cara rundingan antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran bagi menyelesaikan krisis berkaitan Selat Hormuz.

“Pertemuan ini memberi ruang kepada kami bertukar pandangan mengenai perkembangan keselamatan serantau dan antarabangsa, termasuk pendekatan diplomasi serta usaha membina keamanan dalam mendepani konflik dan ketegangan geopolitik.

“Field Marshal Syed Asim Munir berkongsi pengalaman Pakistan dalam memudah cara rundingan damai antara Amerika Syarikat dan Iran. Saya pula berkongsi pengalaman Malaysia memudah cara rundingan antara Thailand dan Kemboja yang akhirnya membawa kepada persetujuan gencatan senjata,” menurut hantaran itu.

Meskipun berdepan cabaran berbeza, pengalaman kedua-dua negara membuktikan bahawa diplomasi, dialog dan pembinaan keyakinan kekal menjadi asas paling berkesan dalam meredakan ketegangan serta membuka jalan kepada penyelesaian secara aman.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.